Friday, February 7, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis tumpaskan aktiviti curi kabel, kesalahan dadah

    LABUAN, 6 FEB – Sebanyak 12 kes kecurian kabel melibatkan Telekom Malaysia Berhad (TM) dilaporkan dari Julai 2023 ke Januari 2024, mengakibatkan kerugian lebih RM88,000.

    Ketua Polis Labuan Supt Mohd Hamizi Halim berkata antara dirampas sebuah kereta Toyota Harrier bernilai RM40,000 dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.

    Beliau berkata aktiviti itu didalangi lima kumpulan melibatkan pesalah berulang dan individu positif dadah.

    “Mereka terdiri daripada 11 penganggur berusia lingkungan 20 hingga 53 tahun, kesemuanya mempunyai rekod jenayah lampau dan kes berkaitan dadah…polis masih mengesan lima ahli kumpulan yang masih bebas.

    “Walaupun kes kecurian kabel sedikit meningkat berbanding 2023, situasi masih terkawal, kami memantau trend dan bekerjasama dengan pengusaha besi buruk untuk menangani isu ini,” kata Mohd Hamizi dalam sidang media di Balai Polis Labuan di sini hari ini.

    Beliau berkata sebahagian suspek telah didakwa di mahkamah manakala yang lain akan didakwa di bawah pelbagai undang-undang termasuk Seksyen 414 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.

    Selain itu, Mohd Hamizi berkata 533 orang diberkas di Labuan kerana kesalahan berkaitan dadah tahun lepas termasuk 27 orang ditahan kerana membekalkan metamfetamina (syabu).

    Beliau berkata rondaan di kawasan panas atau ‘hotspot’ dadah dan pintu masuk pulau akan diperketat bagi mencegah kemasukan bekalan bahan terlarang itu.

    “Kami komited untuk memastikan keselamatan Labuan dengan menangani kedua-dua (iaitu) kecurian kabel dan jenayah berkaitan dadah secara berkesan,” katanya.

    Beliau menggesa orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan bagi membantu usaha berterusan membanteras jenayah di pulau itu. – Bernama

    Ketua Polis Labuan Supt. Mohd Hamizi Halim pada sidang media di di Balai Polis Labuan kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda