Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Persatuan Pesara Polis Diraja Brunei (POLSARA) kelmarin telah mengadakan mesyuarat bulanan kali ke-2 yang berlangsung di Pejabat POLSARA, C6 Kawasan Kompleks Perumahan Pegawai, Ibu Pejabat Polis, Gadong.
Lebih 30 orang pesara dan mantan polis lelaki dan wanita telah hadir di mesyuarat berkenaan.
Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Suarah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Haji Bidin bin Haji Mohd Salim dan seterusnya penyampaian sijil lantikan kepada ahli jawatankuasa (AJK) yang tidak dapat hadir pada mesyuarat pertama yang disempurnakan oleh Yang Dipertua POLSARA, Supt (B) Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim.
Beliau seterusnya menyampaikan kata-kata alu-aluan yang menyentuh mengenai program aktiviti POLSARA sepanjang tahun yang belum dilaksanakan termasuk hal ehwal kebajikan kepada mantan-mantan polis, pembaikan pejabat POLSARA di C6 dan Temburong, lawatan serta undangan pesara polis di luar negara.
Beliau juga menyentuh mengenai undangan baru-baru ini daripada Persatuan Veteran Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (PERWIRA) yang dihadiri oleh POLSARA adalah sangat memberangsangkan bagi mengikat hubungan silaturahim sesama pesara beruniform.
Mengakhiri ucapan, beliau menyentuh terhadap dana bagi menjana persatuan untuk dibincangkan bersama AJK pada mesyuarat berkenaan dan menyampaikan ucapan penghargaan kepada AJK dan ahli-ahli yang menghulurkan bantuan berupa wang ringgit, hidangan dan peralatan untuk POLSARA.
Mesyuarat diteruskan lagi dengan ucapan daripada Penasihat Bersama POLSARA, ACP (B) Haji Murad bin Haji Abdul Hadi, yang telah mengetengahkan terhadap buku Perlembagaan sebagai sumbar rujukan dan panduan persatuan.
Ujar beliau buku berkenaan harus diteliti dan dipertingkatkan untuk diselaraskan mengikut keperluan semasa bagi memudahkan dan melancarkan perjalanan pentadbiran persatuan.
Manakala Bendahari Agung POLSARA, DSP (B) Haji Mohd Yusof bin Haji A Kassim kelmarin telah menyampaikan jumlah kutipan ikhlas daripada AJK. Beliau seterusnya menyentuh terhadap kutipan yuran bulanan yang akan bermula Januari depan.
Sesi mesyuarat itu ditutup dengan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Haji Bidin dan diikuti dengan sesi bergambar ramai.