WASHINGTON, 15 NOV – Jumlah penduduk dunia akan mencecah lapan bilion apabila seorang anak damit lahir di mana-mana tempat di dunia hari ini, demikian menurut unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Ia merupakan satu peristiwa penting dalam pembangunan manusia, sementara kami semua memikirkan tanggungjawab bersama untuk planet,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam satu kenyataan.
PBB menyifatkan pertumbuhan tersebut kerana peningkatan jangka hayat manusia yang merangkumi penjagaan kesihatan awam semakin baik, pemakanan, kebersihan diri dan perubatan.
Hal itu juga disebabkan tahap kesuburan yang tinggi, terutamanya di negara paling miskin dunia – kebanyakannya di negara Sahara Afrika – sekali gus menjejas matlamat pembangunan.
Pertumbuhan populasi juga telah memburukkan kesan pembangunan ekonomi ke atas alam sekitar.
Sementara sesetengah orang bimbang lapan bilion penduduk adalah terlalu ramai untuk planet Bumi, kebanyakan pakar berkata masalah yang lebih besar adalah penggunaan berlebihan sumber oleh golongan paling kaya.
“Beberapa orang meluahkan kebimbangan bahawa dunia sudah mempunyai penduduk berlebihan,” kata Ketua Tabung Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Natalia Kanem.
“Saya ingin menjelaskan bahawa jumlah manusia yang hidup di planet bukan isu yang perlu dibimbangkan, tetapi penggunaan jauh lebih banyak sumber biologi oleh manusia, seperti hutan dan tanah, berbanding apa yang mampu dihasilkan bumi setiap tahun.
Penggunaan berlebihan bahan api fosil, misalnya, membawa kepada lebih banyak pelepasan karbon dioksida, bertanggungjawab terhadap pemanasan global, sekali gus membawa kemusnahan alam sekitar yang dihuni manusia, tanpa mengira jumlah populasi.
PBB mengunjurkan populasi akan terus meningkat kepada kira-kira 8.5 bilion menjelang 2030, 9.7 bilion pada 2050 dan mencecah kemuncak kepada 10.4 bilion pada 2080. – AFP