Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Potensi syarikat pemula pacu inovasi

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Negara Brunei Darussalam mengambil maklum akan pentingnya bagi memupuk sebuah ekosistem pemboleh bagi syarikat-syarikat pemula di mana syarikat pemula tempatan bukan sahaja hanya sebagai perniagaan tetapi mereka merupakan benih yang akan memacu inovasi Brunei ke masa hadapan yang makmur.

    Kerajaan melalui pelbagai inisiatif mantap, menyokong pertumbuhan syarikat pemula dengan menjana sebuah ekosistem di mana mereka boleh berkembang maju.

    Ke arah itu, usaha dan inisiatif berterusan yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak yang berkepentingan dan pelancaran Brunei Minicorn serta Startup Enam Tujuh Tiga (Startup 673) membuktikan komitmen bagi memacu ekosistem pemula Brunei melalui pendekatan seluruh negara.

    Semua usaha berkenaan adalah selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dan meletakkan negara sebagai suar inovasi digital di pentas global, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) dan Darussalam Enterprise (DARe), ketika berucap pada perasmian Brunei Startup Summit 2024 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Beliau menyatakan lagi bahawa matlamat kita adalah bagi mengukuhkan ekosistem syarikat pemula tempatan dan secara strategik menumpukan kepada program-program yang dapat memupuk syarikat-syarikat pemula yang siaga eksport.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyampaikan ucapannya semasa perasmian Brunei Startup Summit 2024 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    “Ini bukan sahaja selaras dengan trend global tetapi ia juga bergema khusus dengan penekanan Wawasan Brunei 2035 kepada kepelbagaian ekonomi dan pertumbuhan mampan,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

    Beliau seterusnya menyeru semua pihak untuk berganding bahu membina sebuah tempat di mana inovasi tidak mengenali sebarang batasan dan impian syarikat-syarikat pemula kita menjadi satu realiti untuk negara.

    Bersama, ulasnya, kita akan merealisasikan Wawasan Brunei 2035 dan terus bergerak di laluan kemakmuran dan perkembangan.

    Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam telah melalui transformasi yang luar biasa dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan dibimbing oleh wawasan 2035 yang membayangkan sebuah ekonomi yang mampan dan dinamik, warga yang berkemahiran tinggi serta kualiti kehidupan yang tinggi untuk semua rakyat Brunei.

    “Pada terasnya, wawasan ini mengiktiraf inovasi sebagai pemacu utama kemajuan,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...