Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    POTRES tampil unik dengan alat muzik buluh

    KUALA LUMPUR – Hujan lebat tidak menghalang warga kota menikmati persembahan mantap daripada kumpulan Perintis Orkestra Tradisional Remaja Sarawak (POTRES), yang dibawakan khas ke Festival Merakyatkan Seni Warisan Akar Umbi, Laman Santai Malaysia MADANI 2023 di Laman Beringin, Istana Budaya, di sini, baru-baru ini.

    Membawa kelainan, POTRES yang terdiri daripada golongan anak muda ini dari Kuching, Sarawak, tampil unik apabila menggunakan alat muzik tradisional yang diperbuat daripada buluh seperti Marimba, Jatung Utang, Gambang dan Angklung, serta alat sokongan seperti Sape, Bass, Akordian dan Gendang.

    Gabungan bunyi kombinasi alat muzik tradisional dan moden itu, menjadikan lagu yang dimainkan mereka antaranya Lemak Manis dan Menceceh Bujang Lapok membentuk irama unik, sekali gus menyerap ke dalam sanubari apabila mendengarnya.

    Pengasas dan jurulatih POTRES, Narawi Rashidi, 59, berkata pihaknya mengambil inisiatif menghidupkan semula penggunaan alatan muzik daripada buluh, bagi memartabatkan seni dan warisan muzik tradisional agar tidak terus hilang ditelan zaman.

    “Sasaran utamanya untuk generasi muda membuktikan kepada mereka bahawa alatan muzik tradisional juga boleh dimainkan bersama alat muzik moden. Kami mahu golongan muda hari ini mengenali dan menghargai seni muzik tradisional, daripada terpengaruh dengan budaya luar,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas membuat persembahan tersebut, baru-baru ini.

    Kumpulan POTRES membuat persembahan semasa Festival Merakyatkan Seni Warisan Akar Umbi 2023 di Kuala Lumpur, baru-baru ini. – Bernama

    Menerusi POTRES yang ditubuhkan pada Oktober 2022, Narawi yang juga Karyawan Seni Negara mengakui alat muzik tradisional itu masih diterima ramai, namun perlu ada usaha supaya seni warisan muzik itu terus terpelihara.

    Pejuang seni muzik tradisional sejak 40 tahun lepas ini, turut meluahkan keinginannya untuk melihat lebih ramai anak muda bergiat dalam POTRES kerana bimbang seni muzik tradisional itu akan hilang ditelan zaman.

    “Apa yang penting, perlu ada minat. Saya juga tidak keberatan melatih bakat-bakat baharu dan memberi kursus secara percuma. Inilah kekuatan (minat) saya. Walaupun apa yang kami perjuangkan ini tidak boleh menjadikan saya jutawan, tetapi besar harapan kami untuk melahirkan generasi pelapis,” katanya yang juga pengasas kumpulan muzik kontemporari Tuku’ Kame’ dan Alun Menoa.

    Narawi berkata walaupun POTRES baru berusia setahun jagung, kumpulan orkestra tradisional itu berpeluang mengadakan pelbagai persembahan di Bumi Kenyalang selepas tiga bulan ditubuhkan dan antara persembahan yang pernah dijayakan ialah Bamboo Event Weekend, Malam Tahun Baharu 2023, Konsert Sape Camp, Borneo Cultural Fest, Baram Regatta dan Sarawak Regatta.

    Bagaimanapun, Narawi yang juga Ahli Bintang Sarawak mengakui pihaknya mempunyai beberapa perancangan untuk membawa POTRES menjayakan siri persembahan di Semenanjung Malaysia, namun tergendala susulan kekurangan dana.

    Justeru, Narawi yang juga komposer dan bekas pengarah muzik di Kampung Budaya Sarawak berharap agar semua pihak sudi memberikan ruang kepada mereka untuk bertapak dan mengembangkan genre itu.

    “Kami mahu berkongsi seni dengan membawa Sarawak ke Semenanjung Malaysia. Namun, masalah utama kami ialah dana, sehingga menjejaskan pergerakan kami.

    “Besarlah harapan kami sekiranya ada pihak yang sudi membantu menaja keperluan kami.

    Sebagai sebuah kumpulan orkestra berskala besar, kami sangat memerlukan sokongan berterusan dari semua pihak, kerana apa yang kami bawakan ini ialah khazanah permata negara,” katanya.

    Sementara itu, seorang ahli POTRES, Nazra Hazieraffiqmal Aqmaf Abdullah, 23, berkata penyertaannya dalam kumpulan orkestra tradisional itu, meluaskan lagi bidang pengetahuannya dalam bidang muzik.

    “Walaupun saya ahli kumpulan Simfoni Orkestra Negeri Sarawak sebagai pemuzik yang bermain dengan biola, saya tetap perlu bermula dari bawah bagi menguasai kemahiran muzik tradisional terutamanya Sape,” katanya.

    Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti kumpulan tradisional orkestra ini, orang ramai boleh layari Facebook Perintis Orkestra Tradisional Remaja Sarawak. – Bernama

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...