Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Presiden Iran eratkan hubungan dengan China

    BEIJING, 12 FEB – Presiden Iran, Ebrahim Raisi akan bertemu dengan rakan sejawatannya, Xi Jinping semasa lawatan tiga harinya di China mulai Selasa, ketika kedua-dua pesaing Amerika Syarikat (AS) itu ingin mengukuhkan kerjasama.

    Jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying membuat pengumuman itu hari ini, berkata lawatan Raisi adalah atas jemputan Xi.

    Raisi akan bertemu dengan Xi dan delegasi mereka akan menandatangani dokumen kerjasama, menurut agensi berita Iran, IRNA. Pertemuan dengan pemimpin perniagaan Iran dan China serta ekspatriat Iran di China juga merupakan sebahagian daripada jadual perjalanannya, tambah laporan itu.

    Lawatan Raisi dijangka mengeratkan hubungan antara dua rakan politik dan ekonomi yang menentang penguasaan Barat yang diketuai AS dalam hal ehwal antarabangsa.

    Kedua-dua pemimpin itu bertemu September lalu di Samarkand, Uzbekistan, apabila Xi menekankan sokongan China terhadap Iran.

    Bulan Disember, Raisi berjanji untuk terus komited untuk mengeratkan perkongsian strategik semasa pertemuan dengan Naib Perdana Menteri China, Hu Chunhua di Tehran.

    China ialah pembeli utama minyak Iran dan sumber pelaburan penting di negara Timur Tengah itu. Pada 2021, Iran dan China menandatangani perjanjian kerjasama strategik selama 25 tahun yang meliputi aktiviti ekonomi utama daripada minyak dan perlombongan kepada industri, pengangkutan dan pertanian.

    Kedua-dua negara mempunyai hubungan tegang dengan AS dan telah berusaha untuk menonjolkan diri mereka sebagai pengimbang kuasa Amerika bersama Rusia. – AP

    Presiden Iran Ebrahim Raisi, kanan, dan Presiden China Xi Jinping bergambar di luar mesyuarat di sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Samarkand, Uzbekistan. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...