Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Program Halaqah Zikir Bagi Pegawai dan Kakitangan Kerajaan serta Syarikat Swasta melabuh tirainya dengan diadakan majlis penutup yang berlangsung di Masjid Omar Ali Saifuddien pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Majlis anjuran Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid berkenaan dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat berjemaah dan bacaan Surah Ar-Rahman yang diimamkan dan dipimpin oleh Haji Hamdini bin Haji Garip, pegawai masjid berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan ceramah yang disampaikan oleh Pengasas Empowerior Counseling, Mejar (B) Rosli bin Bujang diikuti dengan bacaan Doa Khas bagi halaqah zikir tersebut yang dibacakan oleh Penguasa Masjid Omar Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat.
Program ini diadakan sekali dalam sebulan iaitu pada minggu pertama setiap bulan dengan tujuan menyahut titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir selain merealisasikan identiti Masjid Omar Ali Saifuddien sebagai ‘Raudhah al-Zikr’.
Halaqah Zikir diketuai oleh pegawai-pegawai Masjid Omar Ali Saifuddien yang terdiri daripada Pehin-pehin Khatib dan Mudim-mudim dan pengisiannya ialah sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, bacaan surah-surah dan zikir-zikir pilihan, tazkirah dan seterusnya Bacaan Doa Khas.
Turut hadir pegawai dan kakitangan kerajaan dan syarikat swasta.
Dengan adanya Halaqah Zikir, diharap dapat mencapai tujuan dan matlamat yang dihasratkan demi untuk memantapkan lagi pegangan dan keimanan para peserta dan semoga Negara Brunei Darussalam, khasnya jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta akan sentiasa diberkati, mencapai kejayaan, diluaskan pintu rezeki, dijauhi dari sebarang bala bencana dan akan menjadi jabatan atau syarikat yang menitik beratkan nilai-nilai Islam yang tulen dan unggul.