Monday, March 17, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program SMP bincang isu agama

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Seria Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman telah mengadakan perbincangan bersama peserta Program Pengurusan Kanan (SMP) ke-30 Republik Singapura, hari ini.

    Perbincangan yang berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) itu telah dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Heng Aik Yeow.

    Yang Berhormat Pehin dalam ucapan pembukaannya antara lain menyatakan, falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) merupakan model kenegaraan Negara Brunei Darussalam dengan memfalsafahkan nilai sejarah dan budaya serta amalan terbaik agama Islam.

    Selain itu, beliau turut melahirkan keyakinan bahawa hubungan antara kedua-dua buah negara yang telah terjalin sejak tahun 1950an oleh pemimpin kedua-dua negara sebelum ini diperkukuhkan lagi oleh kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sangat menghargai dan memahami ikatan persahabatan yang sedia ada.

    Sesi perbincangan antara lain memfokuskan kepada isu-isu mengenai perkhidmatan agama terutama dari aspek dasar, pengurusan dan pentadbiran.

    Di samping itu, ia memberikan pemahaman kepada para peserta mengenai pembangunan utama di negara ini iaitu latar belakang dan konteks perhubungan yang istimewa antara kedua-dua buah negara, selain meneroka cara untuk mengekalkan dan mengukuhkan hubungan dua hala untuk jangka masa panjang.

    Turut hadir pada perbincangan itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, setiausaha tetap di KHEU dan juga ahli-ahli muzakarah di kementerian berkenaan.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim dan TYT Heng Aik Yeow bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim semasa sesi perbincangan semasa program berkenaan. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda