BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JAN – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Bahagian Cawangan Daerah, kelmarin mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Danau, Mukim Telisai, Daerah Tutong bertempat di Dewan Kemasyarakatan Kampung Danau, Mukim Telisai.
Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Ketua Bahagian Cawangan Daerah, Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar.
Turut hadir menyampaikan maklumat kepada penduduk-penduduk kampung pegawai-pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Saliran dan Pembentungan, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Hal Ehwal Ugama Tutong, Syarikat USMS Sdn Bhd dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI).
Program dimulakan dengan mukadimah daripada ketua rombongan di mana beliau menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.
Haji Fathi Foad juga menekankan mengenai salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.
Program Sua Muka turut diisikan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang antara lain berkaitan dengan prasarana, kesejahteraan dan kemudahan awam serta hal-hal lain.
Program itu diadakan adalah untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.