Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Pusat Sejarah Brunei (PSB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Society for Community Outreach and Training (SCOT) telah mengadakan Majlis Penyerahan Sumbangan Derma Projek Amal Bersama Mengalinga 2.0 bertempat di Dewan Jawatan Dalam, PSB, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyerahan sumbangan bertepatan semasa berlangsungnya Hari Terbuka PSB 2024 itu ialah Pengetua PSB, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong.
Penganjuran Projek Amal Bersama Mengalinga 2.0 bertujuan bagi mengutip bantuan derma untuk membantu para pelajar yang memerlukan bagi persiapan persekolahan tahun 2025.
Derma daripada orang ramai telah mula dibukakan pada 2 hingga 20 November lalu secara dalam talian kepada Tabung SCOT melalui akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).
Sumbangan adalah berupa pakaian dan peralatan sekolah dengan perbelanjaan menggunakan hasil kutipan derma yang terkumpul daripada orang ramai iaitu berjumlah sebanyak $3,943.34.
Sehubungan itu, majlis telah menyaksikan seramai 31 orang pelajar Tahun 1 hingga Tahun 6 dar Sekolah Rendah Pengiran Anak Puteri Besar, Sungai Kebun, Kluster 2, Bandar Seri Begawan menerima sumbangan tersebut.
Sumbangan yang dihulurkan adalah sebagai tanda prihatin dan rasa pemedulian komuniti di Negara Brunei Darussalam bagi sama-sama membantu meringankan keperluan kanak-kanak dalam membuat persediaan persekolahan pada tahun baharu akan datang di samping dapat memberi semangat dan motivasi kepada pelajar dalam meneruskan pembelajaran mereka pada tahun hadapan.
Di samping itu, pada masa yang sama penganjuran majlis penyerahan sumbangan derma itu juga sekali gus memberi peluang kepada para pelajar yang menerima sumbangan derma berkenaan untuk menyertai pelbagai aktiviti secara percuma yang diungkayahkan oleh PSB berserta para penaja iaitu Chef Q, Syarikat A&F K.S.K.A Sdn Bhd dan Indo Rocky Fun Rides dengan menganjurkan pelbagai aktiviti yang antaranya Shooting Duck; Darts; Bumpercars; Football Hand; dan Shooting Cups.
Selain itu, Pasar Nostalgia juga diadakan dengan menampilkan lebih daripada 20 vendor yang menjual pelbagai makanan dan minuman.