PAPAR, 12 NOV – Projek Loji Jana Kuasa 100MW oleh Kimanis Power (Dua) Sdn Bhd bernilai RM700 juta mampu mengukuhkan lagi sumber dan bekalan elektrik, sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Hajiji berkata projek berkenaan yang dilaksanakan untuk memastikan bekalan elektrik yang mencukupi bagi memenuhi keperluan industri dan masyarakat Sabah dijangka siap Mac 2026.
“Kira-kira 400 peluang pekerjaan untuk menyiapkan projek ini dan apabila siap kelak, sebanyak 60 hingga 70 pekerja yang diperlukan untuk mengoperasikan loji jana kuasa berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Loji Jana kuasa 100MW Kimanis Power (Dua) Sdn Bhd dan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-15 Kimanis Power Sdn Bhd di Stesen Jana kuasa Kimanis dekat sini hari ini.
Beliau menekankan bekalan tenaga yang mencukupi dan mampan akan meningkatkan kualiti hidup rakyat Sabah serta memperkukuh pembangunan sosioekonomi negeri.
Hajiji menyatakan kerajaan negeri sentiasa komited untuk terus memperkasakan pengurusan sumber dan pembangunan sektor tenaga di negeri ini menerusi Pelan Induk
Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).
“SE-RAMP 2040 adalah satu langkah penting bagi Kerajaan Negeri untuk memastikan bekalan tenaga yang mampan, akses yang adil dan menyeluruh, serta kos yang mampu milik, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memberikan bekalan elektrik kepada seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Pada masa yang sama, Hajiji berkata menerusi kerjasama erat antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Petronas Gas Berhad, Kimanis Power berkembang sebagai Penjana Tenaga Bebas (IPP) yang memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan bekalan elektrik di Sabah. – Bernama