Thursday, April 24, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    PSG kekal tanpa kalah dalam Ligue 1

    NANTES, 23 APRIL – Paris Saint-Germain (PSG) diikat seri 1-1 oleh Nantes dalam perlawanan tertunda Ligue 1 semalam, namun keputusan itu mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam saingan domestik musim ini menjelang aksi separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Arsenal.

    Jaringan pembukaan oleh Vitinha pada babak pertama tampak seakan mencukupi untuk memastikan PSG pulang dengan tiga mata dari Stade de la Beaujoire, apatah lagi mereka sudah pun mengesahkan kejuaraan Ligue 1 buat kali keempat berturut-turut.

    Namun, Nantes bangkit menyamakan kedudukan enam minit sebelum tamat perlawanan menerusi pemain tengah Brazil, Douglas Augusto, sekali gus menghadiahkan satu mata penting buat pasukan tuan rumah dalam misi mereka untuk kekal dalam liga.

    PSG hampir mencatat kemenangan pada saat akhir, tetapi tandukan pemain gantian Goncalo Ramos hasil hantaran Desire Doue hanya menggegar palang gol.

    Walaupun seri, PSG masih belum tewas kepada mana-mana pasukan domestik sejak Mei tahun lalu dan kini hanya memerlukan empat lagi perlawanan untuk menjadi pasukan pertama menamatkan kempen Ligue 1 tanpa kekalahan.

    Rekod terdahulu paling hampir dicapai oleh Nantes sendiri, yang kekal tanpa kalah dalam 32 perlawanan pertama musim 1994/95 sebelum tewas sekali dan muncul juara.

    Keputusan ini juga menyaksikan PSG mencatatkan 39 perlawanan tanpa kalah di tempat lawan dalam Ligue 1 sejak Februari 2023 – memecahkan rekod sebelum ini yang dipegang AC Milan dengan 38 perlawanan tanpa kalah di tempat lawan dalam Serie A dari 1991 hingga 1993. – AFP

    Reaksi Penjaga gol Nantes, Patrik Carlgren merebut bola daripada dikuasai Bradley Barcola (kiri), dalam perlawanan bola sepak Ligue 1 Perancis antara Nantes dan PSG di Stade de la Beaujoire–Louis Fonteneau, Nantes, barat Perancis, pada 22 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda