ROM, 9 MAC – Christian Pulisic menjaringkan dua gol apabila AC Milan mengelak daripada kekalahan keempat berturut-turut yang memalukan dalam Serie A, dengan kemenangan 3-2 ke atas Lecce yang berada di tempat tercorot semalam.
Pasukan kendalian Sergio Conceicao, yang beraksi tanpa penjaga gol Perancis yang digantung, Mike Maignan ketinggalan 2-0 selama lebih satu jam selepas dua gol dari penyerang Montenegro Lecce, Nikola Krstovic, pada minit ketujuh dan 59.
Gol sendiri oleh Antonino Gallo selepas 68 minit memberi Milan peluang, dengan Pulisic menyamakan kedudukan dari titik penalti lima minit kemudian.
Dan pemain antarabangsa AS itu kemudiannya memberikan pasukannya kemenangan pertama sejak 15 Februari dengan gol keduanya sembilan minit sebelum tamat.
Naib juara Serie A tahun lalu itu kini berada di tangga kelapan, tetapi ketinggalan 14 mata di belakang juara dan pendahulu, Inter Milan, yang akan menentang Monza yang berada di kedudukan terbawah liga pada hari Sabtu. – AFP
