Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pupuk minat membaca golongan berkelainan upaya

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JAN – Golongan berkelainan upaya termasuk kanak-kanak kurang daya penglihatan terus diberikan perhatian untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam menanamkan minat membaca pada usia yang awal lagi.

    Sehubungan itu, dua set buku braille yang bernilai lebih $400 telah disumbangkan oleh Suruhanjaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam kepada Unit Pediatrik Akut, Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan Persatuan Orang-orang Cacat Penglibatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDAB) pada majlis yang berlangsung di Hospital RIPAS, hari ini.

    Hadir pada majlis berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Ambra Dickie; Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; dan Presiden BDAB, Awang Mohammad Hamzi bin Omar.

    Pada majlis itu, PYT Ambra Dickie berkata, menjadi satu keutamaan bagi Kanada untuk menggalakkan budaya membaca dan pembangunan inklusif bukan sahaja di Kanada tetapi juga di Brunei.

    Dalam hubungan itu, beliau menyatakan bahawa Suruhanjaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam telah menyumbang buku kepada Persatuan Membaca dan Literasi Brunei (ReLA) serta mengadakan acara-acara membaca di sekolah-sekolah kerajaan dan swasta budaya dengan matlamat untuk memupuk minat dan budaya membaca.

    PYT Ambra Dickie menyampaikan sumbangan buku kepada Hospital RIPAS yang diterima oleh Haji Maswadi di majlis yang berlangsung di hospital berkenaan, kelmarin.
    PYT Ambra Dickie menyampaikan sumbangan buku kepada BDAB yang diterima oleh Awang Mohammad Hamzi pada majlis tersebut.

    “Kami percaya bahawa ilmu pengetahuan yang luas dapat diperoleh daripada membaca serta mengembangkan kreativiti seseorang,” ujarnya.

    Beliau menambah, amat penting bagi semua kanak-kanak termasuk mereka yang kurang daya penglihatan dan mereka yang berada di hospital untuk mempunyai akses kepada buku kanak-kanak.

    Sementara itu, Haji Maswadi dan Awang Mohammad Hamzi menyatakan penghargaan kepada PYT Ambra Dickie dan Suruhanjaya Tinggi Kanada atas sumbangan yang diberikan serta menyatakan harapan untuk mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dalam memastikan penyertaan inklusif golongan berkelainan upaya.

    Penyampaian sumbangan buku berkenaan adalah bersempena dengan Hari Braille Sedunia di mana buku-buku berkenaan telah disampaikan oleh PYT Ambra Dickie kepada Haji Maswadi yang menerima bagi pihak Hospital RIPAS dan Awang Mohammad Hamzi bagi pihak BDAB.

    Buku-buku yang disumbangkan berkenaan adalah sesuai bagi kanak-kanak prasekolah dan sehingga usia 10 tahun di mana ia mempunyai teks Bahasa Inggeris dan braille. Buku berkenaan boleh dibaca oleh mereka yang boleh melihat dan mereka yang kurang daya penglihatan.

    Sebahagian buku berkenaan adalah buku papan braille di mana ia mempunyai ciri-ciri tambahan iaitu ilustrasi serta gambar warna penuh. Pembaca yang kurang daya penglihatan boleh membaca braille, pada masa yang sama, kanak-kanak boleh membaca serta melihat gambar-gambar yang terdapat dalam buku berkenaan.

    Buku yang disumbangkan adalah hasil karya penulis dan pelukis Kanada di mana beberapa buku menceritakan mengenai elemen-elemen unik tradisi asli Kanada serta kehidupan harian kanak-kanak di negara itu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...