Friday, September 20, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk pelajar dengan kemahiran teknologi pencetakan 3D

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Ke arah memajukan lagi pendidikan dan latihan sains kesihatan, Sekolah Sains Kesihatan Politeknik Brunei dengan kerjasama Syarikat SS3D telah mengadakan latihan intensif pencetakan 3D untuk para pelajar berkenaan, baru-baru ini.

    Inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SS3D yang bertujuan untuk menyokong transformasi digital landskap pengajian tinggi Negara Brunei Darussalam dan melengkapkan pelajar dengan kemahiran masa hadapan bagi menghadapi cabaran era IR4.0.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan latihan berkenaan ialah Pemangku Pengetua Politeknik Brunei, Haji Mohd Jaafar bin Haji Johari.

    Latihan berkenaan telah dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat SS3D, Awang Muhammad Saifuddin bin Sahari, yang membawa kepakaran industri yang sangat penting untuk memastikan pelajar menerima latihan praktikal yang menyeluruh.

    Fasa terkini kini memberi tumpuan kepada melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengintegrasikan teknologi pencetakan 3D dalam modul Anatomi dan Fisiologi mereka pada semester yang akan datang.

    Pelajar mendengarkan penerangan mengenai pencetak 3D. – GAMBAR SERAHAN POLITEKNIK BRUNEI

    Para peserta telah memperoleh kemahiran dalam mengendalikan pencetak 3D, menggunakan pre-designed templates dan mereka bentuk model 3D yang bersesuaian, di mana kemahiran asas seumpama itu akan menjadi kritikal apabila pelajar memulakan projek Anatomi dan Fisiologi mereka yang dijadualkan bermula pada Januari 2024.

    Selaras dengan hala tuju strategik Politeknik Brunei untuk mengintegrasikan inovasi teknologi dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), inisiatif tersebut memperkasakan pelajar dengan kemahiran terkini yang meningkatkan pemahaman mereka tentang anatomi dan fisiologi manusia.

    Di samping itu ia juga bagi mempersiapkan peserta untuk peranan masa depan dalam industri penjagaan kesihatan, di mana teknologi dijangka memainkan peranan yang semakin penting.

    Latihan melibatkan para pelajar daripada pelbagai Program Diploma Sains Kesihatan Tahap 5, termasuk kejururawatan, kesihatan awam, teknologi kardiovaskular, bidan dan paramedik.

    Sebagai sebahagian daripada transformasi digital yang sedang dijalankan, Sekolah Sains Kesihatan komited untuk mengintegrasikan teknologi canggih seperti pencetakan 3D ke dalam kurikulumnya. Pada masa yang sama, sekolah tersebut juga meneroka potensi teknologi realiti maya dan imbuhan untuk meningkatkan lagi hasil pembelajaran para
    pelajar.

    Latihan tersebut adalah kesinambungan dari latihan yang telah diadakan pada bulan Mei, di mana para pensyarah dari Sekolah Sains Kesihatan telah menjalani latihan asas dalam pencetakan 3D.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda