Pusat Maklumat Pelancong di Bandar Seri Begawan perlu diubahsuai dan penambahbaikan. Pusat yang terletak di Old Custom House di Dermaga Diraja ini merupakan lokasi yang ideal dan strategik serta memerlukan hanya beberapa penambahbaikan. Agak menyedihkan apabila membaca ulasan pelancong mengenai pusat berkenaan di Internet.
Berikut adalah antara beberapa cadangan untuk memperbaiki lagi kualiti pusat berkenaan:
Salah satunya adalah dengan meletakkan rak yang mengandungi risalah dan buku pelancongan mengenai Negara Brunei Darussalam.
Risalah pelancongan perlu dipelbagaikan malah bukan sahaja meletakkan risalah mengenai pelancongan, akan tetapi juga dimasukkan seperti risalah mengenai perhotelan, tarikan pelancong seperti muzium, kawasan menarik untuk dilawati, majalah tempatan, perkhidmatan pengangkutan dan juga risalah produk tempatan serta produk-produk lain yang berkaitan dengan pelancongan.
Pegawai yang berkelayakan atau berpengetahuan yang dapat membimbing dan menjelaskan kepada pelancong juga perlu sentiasa berada di kaunter dan menyediakan komputer dengan pencetak atau maklumat digital serta ruang duduk di dalam pusat tersebut untuk pelancong.
Memaparkan poster atau gambar destinasi tarikan pelancong tempatan serta peta pelancongan di dinding. Meletakkan kiosk cenderamata dengan poskad atau produk-produk tempatan di sudut bilik untuk pelancong membeli.
Seterusnya, jangan membiarkan pusat pelancongan digunakan untuk acara yang lain sebagai contoh pameran seni kerana ia boleh mengelirukan pelancong.
Ubahsuai semula pintu masuk atau pintu depan supaya ia kelihatan lebih menarik untuk tarikan pelancong. Reka bentuk tersebut boleh diubahsuai mengikut imaginasi tempatan?
Saya berharap pihak berkuasa akan dapat melihat dan menilai perkara ini serta membuat perkiraan terhadap cadangan-cadangan ini. – Perbaiki Pusat Pelancongan