Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pusat pengundian Iran mula dibuka

    TEHRAN, 1 MAC – Pusat pengundian di Iran dibuka hari ini untuk memilih ahli-ahli parlimen dan badan ulama utama, di tengah-tengah kebimbangan tentang peratusan keluar mengundi yang rendah dan dengan parti konservatif dijangka mengukuhkan cengkaman kuasa mereka.

    “Pengundian bagi penggal ke-12 Perhimpunan Perundingan Islam (parlimen) dan penggal ke-6 Dewan Pakar Pimpinan bermula mengikut arahan kementerian dalam negeri,” lapor TV kerajaan.

    Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei adalah yang pertama membuang undi hari ini di pusat mengundi Imam Khomeini Hussainia di tengah Tehran, menurut sumber yang sama.

    Sejak pilihan raya terakhir, Iran telah terjejas teruk oleh sekatan antarabangsa yang membawa kepada krisis ekonomi. Ia juga telah terjejas oleh protes yang meluas dan terlibat dalam ketegangan serantau yang semakin memuncak berhubung konflik Israel-Hamas.

    Lebih 61 juta orang daripada 85 juta penduduk Iran layak mengundi ahli-ahli parlimen serta ulama Dewan Pakar, badan yang bertanggungjawab memilih pemimpin tertinggi Iran.

    Namun, peratusan keluar mengundi yang rendah dijangka selepas tinjauan TV negara mendapati lebih separuh daripada responden tidak ambil peduli tentang pilihan raya.

    Pilihan raya parlimen terakhir negara itu pada 2020 mempunyai peratusan keluar mengundi sebanyak 42.57 peratus – terendah sejak Revolusi Islam 1979. – AFP

    Seorang lelaki Iran menunjukkan jarinya yang dicelup dakwat selepas membuang undi di Tehran kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...