BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Pengambilan pusingan kedua HECAS 2019 secara online bagi kemasukan ke Universiti Brunei Darussalam (UBD) bagi tahun akademik 2019/2020 akan bermula esok dan dibukakan selama lima hari bekerja selepas pengumuman keputusan GCE ‘A’ Level Jun 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Peperik-saan, Kementerian Pendidikan,tarikh tutup akan diumumkan kemudian di laman sesawang HECAS.
Kenyataan menambah, kursus-kursus yang ditawarkan adalah di peringkat ijazah pertama dan setiap pemohon hanya dibenarkan memohon dua kursus di UBD.
Para pemohon dinasihatkan untuk menghantar dokumen-dokumen yang diperlukan oleh UBD menerusi e-mel sebelum atau tidak melebihi tiga hari waktu bekerja selepas tarikh tutup pengambilan pusingan kedua berkenaan.
HECAS dibukakan kepada pemegang kad pintar yang dikeluarkan oleh kerajaan Ke-bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu kad pintar yang berwarna kuning, ungu dan hijau.
HECAS tidak memproses permohonan di bawah skim Latihan Dalam Perkhidmatan atau permohonan orang asing yang tidak mempunyai kad pintar yang disebutkan.
Selepas pendaftaran, kenyataan menekankan, para pemohon wajib membuat bayaran sama ada secara online melalui aplikasi mudah alih Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) atau secara tunai di kaunter pembayaran iaitu di Tingkat 1 Blok B, Unit
Tunai dan Hasil, Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Kementerian Pendidikan. Pemohon dikehendaki membawa kad pintar asal semasa membuat pembayaran.
Bagi keterangan lanjut, layari laman sesawang Kementerian Pendidikan di http://moe.gov.bn atau laman sesawang HECAS yang baharu di hecas.moe.gov.bn. Sebarang pertanyaan, pemohon boleh berhubung terus dengan Pentadbiran HECAS melalui e-mel ask.hecas@moe.gov.bn atau melalui talian 2380620, 2381992 atau 2381224 semasa waktu pejabat.