Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Puteri Titian Benderang

    Oleh Masnoah AB –

    Pada jam 4 subuh, seperti kebiasaan orang kampung kami memang berada berdekatan dengan laut-sungai dan sebagainya.

    Subuh buta begini memang sudah menjadi lumrah bagi setengah penduduk kampung kami yang akan turun ke laut menangkap ikan sebagai sumber pencarian rezeki mereka.

    Tidak terkecuali Pak Uda iaitu suami kepada makcikku yang tinggal bersebelahan rumah kami. Ketika itu makcik sudah bangun awal dekat 3:45 subuh, memasak serta menyediakan bekalan ringkas bata untuk keperluan suaminya.

    Makcik mengejutkanku untuk meminta ditemani sama-sama menghantar suaminya turun ke laut. Aku menggosok-gosok kedua mata sambil menguap panjang kemudian mencuci muka dan kami pun berjalan menyusuri titian panjang.

    Cuma enam hasta sahaja. Pak Uda pun turun ke tangga pantaran itu dan duduk di perut perahu sambil menghidupkan enjinnya, selepas makcik menyerahkan ringkat bekalan, kami tak lepas peluang bersalaman dengan Pak Uda.

    Gambar Freepik

    Kemudian barulah Pak Uda menghilang ditelan gelap disubuh hari. Belum pun sempat kami berpaling ke belakang tiba-tiba titian itu bertukar terang benderang.

    Aku terpinga melihatnya begitu juga makcik. “Adi….baliklah cepat…berdiri bulu romaku eh… takut ni…menggeletar sudah tubuhku melihat apa yang terjadi,” ajak makcik dengan suara yang terketar-ketar.

    “Tengok sekejaplah makcik, hal seumpama ini takkan menakutkan kita, alam ghaib macam-macam ada di dunia, ramai orang pernah mengalaminya bukan saja makcik tapi aku,” pujukku mententeramkan perasaan mengelabahnya.

    Cahaya titian itu bersambung-sambung begitu jauh seolah-olah ingin menjemput kehadiran kami.

    Ada lampu kerlipan bintang berbaris-baris dikiri dan kanan serta menyediakan gerbang laksana pelangi berkilauan dengan atap berbatu permata untuk melindungi seseorang.

    Lantai titian itu tidak lain hanyalah air jernih, sejernih air Nil yang mengalir panjang.

    “Tak tahu siapa yang datang ini…takkan dari jauh ia berjalan lambat makcik,” tanya ku masih berdiri bagai patung tidak bernyawa.

    “Jangan-jangan orang nak membunuh ni,” komen makcik pula.

    Jauh palis-palis…mengagak lain pula makcik ni…tu…nah dah kian hampir pun,” aku dan makcik saling berpandangan sesama sendiri kerana gadis itu semakin menghampiri kami.

    Ia seorang gadis yang bergaya laksana puteri serta berpakaian batu-batu zamrud dan permata yang beraneka warna, rambutnya ikal mayang mencecah pinggang bersanggul tocang separuh dan berselendang putih di bahu. Wajahnya bujur sirih putih tanpa mekap dan lebih cantik bagaikan bidadari dari kayangan.

    Seri dari sinar wajahnya begitu jelas memancar. Bibirnya yang manis itu masih mengguntum senyuman. Puteri ini diiringi enam orang dayang-dayang yang kebetulannya berwajah sotong tapi keadaan mereka tidaklah menakutkanku bersama makcik.

    “Jemput masuk ke Titian Benderang ini wahai makhluk Allah,” katanya lembut.

    “Erm….terima kasih,” balasku yang sedikit rasa gementar.

    Kami pun melangkah masuk ke sana. Namun pijakan kakiku bagai tidak terasa apa-apa.

    Tanpa banyak soal,puteri tadi memainkan seruling buluh dengan nyaring sekali. Sekelip mata saja puteri itu menyuruh kami duduk di kerusi berkusyen kerang kuning emas.

    Cara aku duduk juga tidak terasa apa-apa, ia sungguh ganjil. Makcik pula terlalu cemas serta mengenggam lengan ku erat-erat maklum saja ini pertama kali dia melihat alam fantasi ghaib yang tidak pernah dia saksikan selama ini.

    Aku tersengih sendirian seolah-olah makcik terlalu ketakutan. Dayang-dayang sotong tadi tidak lagi kelihatan malah hilang begitu saja. Tinggallah puteri itu bersama kami untuk seketika waktu.

    Puteri itu pun bersuara untuk membuka sebuah cerita hikayat kelahirannya. Aku sangat tertarik dan berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut akan asal usulnya.

    Aku ingat juga dunia ini terlalu banyak zaman silamnya yang tidak luput hingga sekarang apatah lagi bumi telah berputar berabad lamanya.

    Alkisah…orang tua puteri ini berasal dari orang kampung kami, ketika itu makcik masih lagi kanak-kanak dan belum mengerti tentang peristiwa silam yang lampau dan ada kemungkinan aku masih lagi tidur nyenyak diperut emakku sebelum dilahirkan ke dunia.

    Ibu puteri ini masih mengandungkan dirinya selama sebulan.Ibu bapa puteri ini sedang mendayung sampan ke laut semata-mata mencari sumber rezeki.

    Pada masa itu sampan mereka diheret taufan ke tebing hutan maka orang tuanya lemas di situ tanpa diketahui penduduk kampung. Janin dari ibu puteri itu terkeluar dan dimakan oleh permaisuri sotong gergasi yang tinggal di dasar laut.

    Tak sangka pula permaisuri sotong bertelurkan janin manusia tapi mereka tidak membunuhnya malah memberinya kuasa serta membesarkannya seperti anak sendiri.

    Di titian itulah puteri ini sering memerhatikan makhluk lain seperti dirinya sehingga kami dipertemukan.

    Begitulah kisahnya. Azan subuh mula berkumandang, dengan pantas puteri itu terus berlari pulang dan sekelip mata saja titian benderang itu tidak bercahaya lagi. Rupanya kami terduduk di atas titian dalam kegelapan dan kami pun berjalan pulang.

    Esok harinya seluruh kampung gempar dengan cerita makcikku.

    Tapi aku cuma tutup mulut malaslah nak cerita-cerita. Sedang alam fantasi ghaib ini memang perkara biasa yang boleh dialami semua orang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...