Wednesday, December 18, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Puteri Yuriko meninggal dunia pada usia 101 tahun

    TOKYO, 15 NOV – Puteri Yuriko, kerabat tertua keluarga diraja Jepun dan ibu saudara kepada Maharaja Naruhito meninggal dunia pada usia 101 tahun di sebuah hospital di Tokyo awal pagi hari ini, lapor agensi berita Kyodo.

    Puteri Yuriko dimasukkan ke hospital pada Mac akibat strok dan radang paru-paru dan telah menerima rawatan sejak itu, menurut Imperial Household Agency.

    Bagaimanapun, ujian perubatan awal bulan ini menunjukkan penurunan fungsi jantung dan buah pinggangnya.

    Puteri Yuriko berkahwin dengan Putera Mikasa, adik bongsu Maharaja Hirohito ketika berusia 18 tahun setelah tamat pengajian di Akademi Wanita Gakushuin.

    Suaminya meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada 2016 pada usia 100 tahun.

    Putera Mikasa (kanan), dan isterinya Puteri Yuriko (kiri) berbicara di kediaman mereka di Tokyo, pada 16 November 2015. – AP

    Pasangan itu dikurniakan tiga anak lelaki dan dua anak perempuan. Anak lelaki mereka iaitu Putera Tomohito, Putera Katsura dan Putera Takamado meninggal dunia masing-masing pada 2012, 2014 dan 2002.

    Tiga cucu perempuannya masih kekal dalam keluarga diraja.

    Berikutan pemergian Puteri Yuriko, bilangan kerabat diraja Jepun semakin berkurangan susulan Undang-undang Imperial Jepun 1947 yang menetapkan bahawa wanita kehilangan status diraja apabila berkahwin dengan rakyat biasa.

    Manakala, Puteri Noriko dan Puteri Ayako, anak kepada Putera Takamado melepaskan gelaran diraja selepas berkahwin dengan rakyat biasa pada 2014 dan 2018.

    “Saya berasa sangat sedih mendengar berita kehilangan ini. Saya mengucapkan takziah yang tulus ikhlas bersama rakyat Jepun,” kata Perdana Menteri Shigeru Ishiba dalam satu kenyataan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda