Sunday, March 9, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raphinha pastikan Barca menang tipis

    LISBON, 6 MAC – Raphinha memastikan Barcelona menang tipis 1-0 ke atas Benfica dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah semalam, walaupun pasukan gergasi Catalan itu terpaksa beraksi dengan 10 orang hampir sepanjang perlawanan.

    Pertahanan remaja, Pau Cubarsi dilayangkan kad merah pada pertengahan babak pertama ketika kedudukan masih terikat tanpa jaringan dalam saingan sengit di Lisbon.

    Raphinha meledak gol pada minit ke-61 untuk memberikan Barcelona, juara Eropah lima kali, kelebihan tipis ke atas pasukan kendalian Bruno Lage menjelang perlawanan timbal balik Selasa depan.

    Barcelona belum memenangi Liga Juara-Juara sejak 2015 tetapi dijangka melangkah jauh musim ini selepas diundi menentang lawan yang dianggap ramai sebagai lebih mudah.

    Hansi Flick menegaskan sebelum perlawanan bahawa tiada pertembungan yang mudah, dan jurulatih itu terbukti benar dalam aksi sengit di ibu negara Portugal.

    “Saya katakan kepada pasukan, chapeau (topi ke atas), saya sangat bangga,” kata jurulatih dari Jerman itu selepas pasukannya meraih kemenangan. “Selepas minit ke-22 dengan hanya 10 pemain, ia bukan mudah, dan ini adalah kemenangan besar.”

    Penjaga gol Wojciech Szczesny, yang melakukan dua kesilapan besar ketika menentang Benfica dalam peringkat kumpulan pada Januari, menebus kesilapannya dengan beberapa aksi penyelamatan cemerlang ketika Barcelona diasak hebat dalam 30 minit terakhir perlawanan.

    Szczesny menyelamatkan percubaan berbahaya Kerem Akturkoglu hanya beberapa saat selepas sepak mula, dan permulaan perlawanan menunjukkan kedua-dua pasukan meneruskan intensiti perlawanan terakhir mereka yang berakhir dengan kemenangan 5-4 Barcelona di Lisbon. – AFP

    Lamine Yamal berebut bola dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara UEFA di Stadium Estadio da Luz, Lisbon, semalam. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda