BARCELONA, 18 OKT – Pemain sayap Brazil, Raphinha, terus mempamerkan aksi cemerlang untuk Barcelona sepanjang musim ini, dan gergasi Catalan itu kini semakin bergantung kepada bintang mereka menjelang minggu yang dianggap sebagai penentu musim.
Skuad kendalian Hansi Flick, yang kini mendahului La Liga, bakal berdepan Sevilla pada Ahad, sebelum berentap dalam aksi Liga Juara-juara menentang Bayern Munich pada Rabu, diikuti oleh perlawanan El Clasico menentang musuh tradisi, Real Madrid, Sabtu depan.
Sementara itu, Real Madrid dijadualkan bertemu Celta Vigo selepas memberi sokongan kepada bintang utama mereka, Kylian Mbappe.
Mbappe kini sedang disiasat atas dakwaan rogol semasa lawatannya ke Stockholm, menurut laporan media Sweden. Sumber dalaman kelab yang tidak mahu dikenali, memberitahu AFP bahawa tuduhan terhadap pemain Perancis itu disifatkan sebagai ‘pemalsuan terbesar dalam sejarah sukan.’
Di sebalik cabaran yang menanti Barcelona, Raphinha kini menjadi satu-satunya pemain utama dalam barisan serangan kelab itu yang kekal cergas. Penyerang utama, Robert Lewandowski, diketepikan selepas mengalami kecederaan ketika Poland seri dengan Croatia dalam aksi Liga Negara-negara. Selain itu, pemain remaja sensasi, Lamine Yamal, disahkan mengalami kecederaan hamstring ringan.
Ferran Torres pula terpaksa berehat beberapa minggu akibat kecederaan paha, manakala pemain tengah kreatif, Dani Olmo, masih dalam proses pemulihan daripada masalah hamstring. – AFP