Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Rasa unik piza dibakar dalam ketuhar bata

    SHAH ALAM – Teknik pengusaha Khirwan’s Pizza Parlor yang membakar piza menggunakan ketuhar bata memberikan rasa dan pengalaman unik kepada para pelanggan. 

    Walaupun hanya dijual di gerai di tepi jalan sekitar Bukit Jelutong di sini, namun kualiti pizanya adalah setanding dengan piza yang dijual di hotel lima bintang namun pada harga ‘marhaen’. 

    Pemiliknya Khirwan Mustaqim Khir Anuar , 29,  berkata idea menggunakan ketuhar bata muncul ketika bekerja di sebuah restoran mewah dan sejak itu dia mula belajar teknik membakar piza menggunakan ketuhar tersebut di beberapa restoran lain.

    Bagi memulakan perniagaan dua tahun lepas, dia membeli ketuhar bata buatan tempatan dengan harga RM8,500 dan membawanya ke tapak niaga menggunakan kendera saji.

    Katanya, lebih menarik proses membakar piza menggunakan ketuhar bata itu memerlukan tempoh yang lebih singkat  iaitu hanya sehingga dua minit untuk dimasak berbanding jika dibakar menggunakan ketuhar konvensional.

    Pengusaha Khirwan’s Pizza Parlor, Khirwan Mustaqim Khir Anuar menunjukkan piza yang telah siap dibakar menggunakan ketuhar bata ketika tinjauan di Bukit Jelutong Shah Alam. – Bernama
    Piza dari Khirwan’s Pizza Parlor dibakar menggunakan ketuhar bata ketika tinjauan di Bukit Jelutong Shah Alam. – Bernama
    Reaksi pelanggan ketika menikmati piza dari Khirwan’s Pizza Parlor ketika tinjauan di Bukit Jelutong Shah Alam. – Bernama

    Beliau yang berpengalaman bekerja sebagai cef di hotel dan restoran selama enam tahun berkata, teknik itu juga dapat memastikan kandungan air dalam doh piza kurang tersejat dan menjadikan ia tidak liat dan kekal lembut.

    “Uniknya ketuhar bata ini adalah bata itu sendiri, bila kita panaskan ketuhar itu kita memanaskan keseluruhan bata dan suhu terbaik untuk memasak piza ialah 450 darjah Celcius dan ke atas.

    “Bila kita makan piza yang dibakar menggunakan ketuhar bata, ia memberikan rasa terbakar seperti makan sate dibakar menggunakan arang dan ia tidak boleh didapati melalui penggunaan ketuhar biasa,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di gerainya di Bukit Jelutong di sini.

    Khirwan Mustaqim berkata setakat ini pihaknya mampu menjual sehingga 60 keping piza sehari bermula 6 petang hingga 10 malam dan menu dari Itali itu pernah laris terjual dalam masa dua jam susulan tular di Twitter.

    “Saya menggunakan tepung gandum dari Itali yang teksturnya lebih nipis berbanding tepung gandum biasa, sos piza pun saya buat sendiri. Piza yang kami jual semuanya bersaiz 10 inci dan pelanggan boleh pilih daripada lapan jenis perisa dijual bermula pada harga RM18 hingga RM36,” katanya.

    Menurut Khirwan Mustaqim, minat dalam pembuatan piza timbul semasa bekerja sebagai cef yang membuatkan beliau tekad untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan tersebut bersama abangnya pada dua tahun lepas, iaitu ketika awal tempoh pandemik COVID-19.

    Katanya, proses membuat piza bermula daripada menguli doh hingga makanan tersebut siap dibakar memberikan satu kepuasan kepadanya.

    “Setiap tukang masak atau chef ada impian untuk buka kedai dan bila abang saya ajak saya untuk berniaga, saya ambil peluang itu dengan membuka gerai menjual piza dan membawa konsep bakar ketuhar bata di tepi jalan.

    “Walaupun ketika itu kerajaan baru mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya tetap teruskan rancangan untuk berniaga dan tidak berpatah balik,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...