Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Ratu Satay perkenal 24 jenis sate

    Sate daging lembu, ayam atau kam-bing sudah terlalu lazim dinikmati di gerai atau restoran menawarkan makanan tradisional itu yang popular di Malaysia.

    Namun, sebuah gerai yang terletak di dalam Restoran Nasi Vanggey Greentown di sini menawarkan sesuatu yang luar biasa apabila menyediakan 24 jenis sate termasuk sate landak, arnab, kijang dan rusa.

    Pengusahanya Norseha Mohmed Said, 37, yang mengusahakan gerai Ratu Satay sejak dua tahun lepas, berkata dia cuba mencari kelainan dan mahu memberikan banyak pilihan kepada penggemar hidangan itu yang dinikmati bersama kuah kacang.

    “Sambutan amat menggalakkan terutama pada hujung minggu. Gerai saya mendapat perhatian peminat sate yang mahu merasa pelbagai jenis sate yang tidak pernah mereka makan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di gerainya itu.

    Norseha berkata variasi sate yang dijual ialah sate perut (ayam), sate tulang (ayam), sate kulit (ayam), sate daging wagyu, sate salmon, sate itik, sate tongkeng ayam, sate paru (lembu), sate puyuh, sate keli, sate telur sotong, sate tembusu (perut lembu), sate batang pinang, sate usus (ayam), sate kerang, sate hati ayam dan sate ‘lokcing’.

    Norseha mencari kelainan dan mahu memberikan banyak pilihan kepada pelanggan dengan menyediakan 24 pilihan menu sate jika awda berkunjung ke gerai Ratu Satay yang terletak di dalam restoran Nasi Vanggey Greentown. – Bernama
    Gambar Bernama
    Gambar Bernama

    “Harga sate bermula daripada RM1 hingga RM23 (wagyu) secucuk, pada hujung minggu saya boleh menjual 1,200 cucuk sate pelbagai jenis, manakala hari biasa terjual hingga 800 cucuk,” katanya yang turut menawarkan sate biasa iaitu daging lembu, ayam dan kambing.

    Ibu kepada dua cahaya mata yang memiliki Sijil Pembangunan Landskap daripada Akademi Binaan Malaysia, berkata sate yang paling mendapat sambutan ialah sate tulang ayam yang kebanyakan pelanggan menikmati makanan itu bersama nasi, dijual RM1.80 secucuk.

    “Saya akan pastikan stok sate yang didapati daripada pembekal sentiasa segar supaya rasa hidangan itu kekal enak, saya tidak menyimpan stok terlalu lama, biasanya semua sate dapat dijual dalam masa yang singkat,” katanya serta menambah sate rusa, sate kulit ayam, sate arnab dan sate itik turut mendapat tempat di hati pelanggan.

    Beroperasi dari pukul 4 petang hingga 12 tengah malam, Norseha yang berniaga bersama suami dan dibantu seorang pekerja berhasrat mengusahakan sate dalam bentuk perniagaan makanan segera yang boleh dimakan dengan lebih mudah seperti dibungkus di dalam cawan.

    Selain itu, Norseha yang turut menerima tempahan sebarang majlis, berkata dia juga sedang merancang untuk membuka perniagaan nasi penyet dengan pelbagai jenis lauk seperti rusa, arnab atau landak penyet.

    Enggan berada pada tahap sedia ada, Norseha tidak ketinggalan menambah ilmu perniagaan dengan mengikuti program keusahawanan oleh Kerajaan Negeri Perak iaitu Program Mahir Usahawan: Business Fundamental Mastery Siri 4 yang dilaksanakan di RTC Gopeng, Ogos tahun lepas.

    “Sejak saya mengikuti program berkenaan, hasil jualan sate meningkat, kini saya boleh membuat jualan hingga mencecah RM18,000 sebulan, peningkatan 30 peratus berbanding sebelum ini,” katanya yang berasal dari Johor. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...