Thursday, April 18, 2024
34.4 C
Brunei

    -

    RCYPNP permudah komunikasi, kongsi maklumat

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MEI – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), hari ini melancarkan Daftar Kanak-kanak yang Memerlukan Perlindungan (RCYPNP) untuk membantu agensi berkenaan mengenal pasti kanak-kanak dan golongan muda yang memerlukan perlindungan, memudahkan dan membantu komunikasi serta perkongsian maklumat antara agensi.

    Majlis pelancaran telah diadakan di Kompleks Sukan Jerudong dan disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Mirany Floridzah binti Abdul Rahman, wakil-wakil agensi utama sektoral serta pegawai-pegawai kanan KKBS.

    RCYPNP merupakan salah satu inisiatif di bawah Rangka Kerja Kebangsaan Perlindungan Kanak-kanak Negara Brunei Darussalam (NFCP) yang merupakan salah satu teras utama mekanisme pemantauan.

    Hajah Nor Ashikin dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, NFCP yang telah dilancarkan pada 22 Disember 2020 merupakan inisiatif kebangsaan Whole-of-Nation yang melibatkan agensi-agensi pelaksana memainkan peranan penting dalam melindungi kanak-kanak dan orang muda.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa melancarkan RCYPNP pada majlis yang diadakan di Kompleks Sukan Jerudong.
    Hajah Nor Ashikin semasa menyampaikan ucapan alu-aluan semasa majlis pelancaran RCYPNP yang diadakan kelmarin.
    Antara yang hadir semasa majlis pelancaran tersebut, kelmarin.

    NFCP merupakan panduan kebangsaan yang bertujuan untuk membangunkan ekosistem perlindungan kanak-kanak sedia ada dari 2020 hingga 2024. Rangka ini memberi tumpuan kepada kanak-kanak dan orang muda yang berumur di bawah 18 tahun dan menetapkan strategi untuk menangani keutamaan negara bagi perlindungan kanak-kanak melalui pendekatan seluruh negara dan seluruh kerajaan.

    Rangka kerja ini juga menetapkan hala tuju negara harus memfokuskan pelaburannya untuk meningkatkan perlindungan kanak-kanak dan orang muda daripada segala jenis bahaya.

    Menurut beliau, NFCP telah dan akan terus menjadi panduan dan rujukan kebangsaan, untuk menambah baik sistem perlindungan kanak-kanak yang sedia ada di Negara Brunei Darussalam. Oleh itu, tambah beliau, daftar RCYPNP yang baru dilancarkan itu adalah satu teras utama Mekanisme Pemantauan NFCP yang merujuk kepada keperluan untuk mewujudkan pusat sistem data yang berpusat, untuk membantu pihak kerajaan merumuskan, memantau dan menilai dasar serta program perlindungan kanak-kanak secara lebih efisien.

    Selain itu, Akta Kanak-kanak dan Orang Muda juga menyebut mengenai penubuhan satu pangkalan data yang mengandungi butiran setiap kes kanak-kanak memerlukan perlindungan.

    Dengan adanya daftar RCYPNP, jelas beliau, ia juga dihasratkan untuk memudahkan perkongsian maklumat dan komunikasi antara agensi pelaksana. Setakat hari ini, sebanyak 251 kes aktif telah dimasukkan ke dalam sistem dan perisian data akan terus berkembang selaras dengan kes-kes yang diterima atau dirujuk oleh setiap agensi.

    Di bawah NFCP itu juga, empat protokol penilaian sektoral (SAP) telah dihasilkan yang akan digunakan oleh petugas barisan hadapan setiap agensi bagi sektor perkhidmatan sosial, pendidikan, kesihatan dan penguatkuasaan, untuk mengendalikan kes dan mendaftarkan kes kanak-kanak dan orang muda yang memerlukan perlindungan.

    Beliau menjelaskan, melalui SAP masing-masing, agensi-agensi akan dapat mengenal pasti kanak-kanak dan orang muda yang memerlukan perlindungan, menjalankan saringan awal aduan yang diterima; dan menentukan tahap risiko kes yang diterima secara lebih sistematik, dengan menggunakan sistem kod warna merah, kuning, hijau.

    Pada masa ini, sebagai fasa pertama, sistem akan mula digunakan di peringkat JAPEM sebagai agensi yang akan dapat melihat keseluruhan data.

    Bagi fasa kedua, sistem akan mula digunakan oleh agensi-agensi yang berkepentingan dan akan dapat mengakses data agensi mereka sendiri, tambah Hajah Nor Ashikin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...