Oleh Salawati Haji Yahya & Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani, Salawati Haji Yahya & Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Orang ramai mula membanjiri kawasan lapang depan bangunan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) sejak pukul 6 petang bagi menyaksikan sendiri fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku hari ini.
Cerapan gerhana bulan yang diadakan di BKISHHB tersebut adalah bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk sama-sama menyaksikan fenomena gerhana yang merupakan salah satu daripada tanda-tanda kekuasaan Allah.
Hadir pada acara tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir, Timbalan Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-undang) Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu dan Setiausaha Tetap Urus Tadbir Perkhidmatan Awam JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin.
Pencerapan gerhana bulan penuh dapat disaksikan sejurus saja bulan terbit pada pukul 5:56 petang, diikuti dengan solat fardu Maghrib, sunat Gerhana Bulan dan fardu Isyak berjemaah di Surau BKISHHB.
Semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara juga mengadakan solat sunat Gerhana Bulan dengan tumpuan utama di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Mengimamkan solat sunat Gerhana Bulan di masjid tersebut ialah Pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Mohamad Hasnal bin Haji Mohamad.
Turut hadir di masjid itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Manakala khutbah khas disampaikan oleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat yang inti patinya mengingatkan umat Islam supaya melakukan perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir, solat, bersedekah dan beristighfar seperti mana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.
Sementara itu, cerapan yang diadakan di BKISHHB, JPM dan Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD) tersebut bertujuan untuk menjunjung tinggi titah dan menanai hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan BKISHHB sebagai pusat warisan ilmu Islam, yang mampu menghidupkan budaya ilmu melalui aktiviti-aktiviti keilmuan sepertimana yang telah dititahkan semasa Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2019.
Pelbagai aktiviti ilmiah juga dirancang oleh BKISHHB dan PABD seperti aktiviti Cerapan Bulan Separa Pertama, mencerap bintang, dan mencerap planet seperti Marikh, Musytari dan Zuhal yang dijadualkan pada bulan Disember 2022.
Seorang pengunjung ke BKISHHB yang sempat ditemu bual, Dayang NurHafiizah binti Zahari menyatakan beliau melahirkan rasa syukur kerana berpeluang buat pertama kalinya menyaksikan gerhana bulan menggunakan peralatan khas yang disediakan di BKISHHB.
“Selain dapat menyaksikan gerhana bulan, kami juga berpeluang mengetahui kedudukan bulan dengan menggunakan aplikasi khusus melalui telefon bimbit,” ujarnya.