Friday, September 20, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rekaan lampu meja terangi ruang bilik

    Oleh Amri HTZ –

    Melakukan eksperimen dalam sesuatu projek mampu menyerlahkan kreativiti dan menghasilkan sebuah rekaan asli dan luar biasa.

    Menerusinya, satu persatu pengalaman turut diperoleh yang amat berguna dalam menghasilkan rekaan akan datang.

    Hasil daripada langkah ini, berkemungkinan rekaan yang dihasilkan mampu menjana pendapatan sampingan jika ia mendapat sambutan.

    Antara barang diperlukan dalam projek kali ini menumpukan kepada langkah mereka lampu meja daripada kayu yang mempunyai badan yang melengkung dengan kayu bahagian bawahnya terpisah daripada satu sama lain. (gambar 1)

    Untuk merekanya awda memerlukan:

    • Mesin pemotong kayu
    • Alat pengapit kayu
    • Papan lapis ¾ inci
    • Papan lapis 1/8 inci
    • Gam kayu
    • Mesin gerudi
    • Mesin router
    • Papan
    • Mekanisme lampu
    Wood finish

    REKA ACUAN GUNA PAPAN LAPIS

    Sebelum memulakan proses memotong papan lapis menjadi kepingan kecil, terdahulu reka acuan untuk memudahkan awda melengkungkannya menggunakan papan lapis berukuran ¾ inci. Acuan yang berbentuk separa bulatan dengan ketinggian 10.5 inci, panjang 17 inci dan berketebalan 4 inci merupakan cantuman daripada empat keping papan lapis ¾ inci.

    Pada bahagian dalamannya pula kan ditebuk dengan lubang untuk memudahkan alat pengapit ditempatkan. Cantum menggunakan gam kayu dan skru. (gambar 2)

    Gambar 1. – Gambar oleh Branch and Bead
    Gambar 2. – Gambar oleh Branch and Bead
    Gambar 3. – Gambar oleh Branch and Bead
    Gambar 4. – Gambar oleh Branch and Bead
    Gambar 5. – Gambar oleh Branch and Bead
    Gambar 6. – Gambar oleh Branch and Bead
    Gambar 7. – Gambar oleh Branch and Bead
    Gambar 8. – Gambar oleh Branch and Bead
    Gambar 9. – Gambar oleh Branch and Bead
    Gambar 10. – Gambar oleh Branch and Bead
    Gambar 11. – Gambar oleh Branch and Bead
    Gambar 12. – Gambar oleh Branch and Bead
    Gambar 13. – Gambar oleh Branch and Bead

    Papan lapis 1/8 inci tersedia kemudiannya akan dipotongkan kepada lapan kepingan dengan panjang 30 inci dan lebar 2 inci. Kepingan papan lapis ini ¼ inci lebih lebar daripada hasil akhir bagi memberikan ruang untuk penyelarasan nanti. (gambar 3)

    Daripada lapan kepingan papan lapis, ia kemudiannya akan menjadi empat kepingan di mana setiap dua keping akan dicantum menjadi satu yang berguna untuk mengekalkan bentuk melengkungnya selain memperkukuh struktur rekaan. Sapukan permukaan cantuman sepenuhnya menggunakan gam kayu. (gambar 4)

    Setiap kepingan papan lapis yang telah dicantumkan dan dalam keadaan gam masih basah akan ditetapkan kedudukannya pada acuan yang direka sebelumnya. Kekalkan kedudukannya menggunakan alat pengapit kayu sehingga gam mengering. (gambar 5)

    Ketika awda melepaskan apitan papan yang dibentuk pada acuan, pastinya terdapat beberapa kepingan yang melekat padanya disebabkan lelehan gam pada bahagian yang sukar dibersihkan. Oleh itu penting bagi memastikan gam dibersihkan ketika kayu diapit pada acuan sebelum ia mengering. (gambar 6)

    LEBIHKAN UKURAN SEBENAR

    Kejadian cantuman kepingan kayu yang tidak sempurna disebabkan berlakunya pergerakan ketika diapit dalam keadaan gam masih basah merupakan satu kejadian ia biasa terjadi.

    Oleh itu penting awda melebihkan ukuran daripada asal ukuran akhir bagi memudahkannya diperbetulkan dengan cara memotongkannya. (gambar 7)

    Langkah seterusnya ialah mencantumkan bahagian hujung kepingan kayu melengkung yang akan menempatkan soket lampu. Sapukan bahagian dalam kayu dengan gam kayu kira-kira 5 inci dari bahagian hujung dan cantum keempat-empat keping kayu menjadi satu. Pastikan bahagian bawahnya diratakan dan dijarakkan ¾ inci daripada setiap satu. (gambar 8)

    Setelah gam mengering, potong rata bahagian hujung cantuman menggunakan mesin mitre saw. Melakukannya menggunakan gergaji secara manual juga boleh dilakukan. (gambar 9)

    Bagi menjadikan rekaan lebih menarik, bahagian hujung yang telah dipotongkan sebelumnya akan dibentuk menjadi membulat, sesuai dengan bentuk lubang yang akan ditebuk untuk menempatkan soket lampu. (gambar 10)

    VERNIER CALIPER ALAT UKUR PENTING

    Sebelum menebuk lubang untuk soket lampu, ukur menggunakan vernier caliper diameter soket. Setelah itu gunakan mata gerudi bersesuaian ukurannya untuk menebuk lubang. (gambar 11)

    Bagi bahagian kaki lampu, papan berukuran 4 ½ inci lebar dan panjang 8 ½ inci akan dipotongkan yang mempunyai ketebalan ¾ inci. Salah satu bahagian hujung tengah papan akan direka sebagai ruang untuk menempatkan bahan badan lampu yang mempunyai bahagian hujung yang terpisah. Gunakan mesin router untuk melaksanakannya atau kikir kayu. (gambar 12)

    Setelah ruang khusus pada kaki lampu direka, cantumkan badan lampu padanya menggunakan gam kayu.

    Apabila gam telah mengering, kini awda boleh menempatkan mekanisme lampu yang disediakan. Bagi bahagian wayar, sarung jenis braided digunakan memandangkan ia cukup cantik sebagai penampilan selain menutupi wayar lampu.

    Dengan langkah terakhir ini, rekaan unik yang telah siap kini boleh ditempatkan pada meja kerja mahupun dijadikan lampu untuk tidur. (gambar 13)

    Tip rekaan

    • Sapukan wood finish bersesuaian untuk melindungi rekaan sekali gus menjadikan hasil akhir rekaan lebih menawan dengan warna yang digunakan.

    • Dalam memastikan wayar kekal pada tempatnya, klip khusus wayar akan digunakan sama ada yang terbuat daripada plastik atau besi, mahupun merekanya sendiri menggunakan kayu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda