Friday, November 15, 2024
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Remaja Eropah alami tekanan melampau, hilang sokongan keluarga

    COPENHAGEN, 14 NOV – Remaja di Eropah, Kanada dan Asia Tengah kini berdepan dengan sokongan keluarga yang semakin berkurangan dan tekanan sekolah yang kian meningkat berbanding sebelumnya, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin, sambil menggesa negara-negara ahli untuk memperbaiki persekitaran sosial untuk golongan remaja.

    WHO Eropah menyatakan peratusan remaja yang melaporkan tahap sokongan keluarga yang tinggi menurun daripada 73 peratus pada 2018 kepada 67 peratus pada 2022, dengan penurunan yang lebih ketara dalam kalangan remaja perempuan, iaitu daripada 72 peratus kepada 64 peratus.

    Golongan remaja juga semakin banyak melaporkan tekanan di sekolah, menurut WHO.

    Pada 2022, hampir dua pertiga remaja perempuan berusia 15 tahun, iaitu 63 peratus, melaporkan berasa tertekan dengan beban kerja sekolah — meningkat daripada 54 peratus pada 2018. Manakala 43 peratus remaja lelaki pula melaporkan tekanan serupa, meningkat daripada 40 peratus.

    “Remaja hari ini berdepan cabaran luar biasa dalam persekitaran sosial mereka, dari sokongan yang berkurangan di rumah hingga tekanan yang semakin meningkat di sekolah, yang berpotensi memberikan kesan jangka panjang terhadap kesihatan dan prospek hidup mereka pada masa depan,” kata Pengarah Serantau WHO Eropah, Dr Hans Kluge dalam satu kenyataan.

    Menurut WHO, remaja yang melaporkan tahap sokongan keluarga yang tinggi — lebih cenderung ditemui dalam keluarga yang lebih berada, menunjukkan kesihatan mental yang lebih baik berbanding mereka yang melaporkan sokongan keluarga yang terhad atau tiada langsung.

    Laporan itu turut mendapati sokongan rakan sebaya dalam kalangan remaja telah menurun, daripada 61 peratus kepada 58 peratus, dengan penurunan yang paling ketara dalam kalangan remaja perempuan, iaitu daripada 67 peratus kepada 62 peratus.

    “Remaja perempuan sering tertekan antara harapan untuk cemerlang dalam akademik dan peranan sosial tradisional, manakala remaja lelaki pula mungkin merasakan tekanan untuk tampil kuat dan berdikari, sehingga enggan mendapatkan sokongan yang diperlukan,” kata salah seorang penulis laporan tersebut, Irene García-Moya. – AFP

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda