Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Renyah sistem pos berisiko jejaskan undi luar negara

    KUALA LUMPUR – Apabila tempoh pendaftaran pengundi pos bagi kategori 1B, iaitu warga Malaysia bermastautin di luar negara, tamat pada 11:59 malam waktu Malaysia 23 Oktober lepas, Syakirah Anas menarik nafas lega.

    Dia yang menetap di Qatar berjaya mendaftar walaupun pada saat-saat akhir. Nasib sama bagaimanapun tidak menyebelahi suaminya yang terlepas peluang disebabkan kesibukan tugas sebagai juruterbang.  

    Syakirah, 48, dan ibu kepada tiga anak, akan mengundi secara pos buat pertama kali. Dia begitu teruja untuk menunaikan tanggungjawabnya pada pilihan raya umum (PRU) kali ini kerana pada pilihan raya terdahulu dia tidak layak berbuat demikian.

    Undang-undang ketika itu menuntut anak rantau hanya boleh mendaftar sebagai pengundi pos sekiranya dia menghabiskan masa selama 30 hari di tanah air dalam tempoh lima tahun lepas. Namun pindaan akta mengubah keadaan itu, dan kini apa yang mereka perlu lakukan hanyalah mendaftar dalam talian.

    Malah, peraturan pendaftaran sebagai pengundi secara automatik apabila berusia 18 tahun juga memudahkan lagi mereka yang menetap di negara asing menunaikan kewajipan sebagai rakyat Malaysia. 

    Penambahbaikan undang-undang itu bagaimanapun tidak menghapuskan cabaran pengundian pos dengan rata-rata pemerhati menjangkakan jumlah yang mengundi tidak sampai 10 peratus daripada keseluruhan anak rantau di luar negara. – Bernama
    Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann ketika ditemui pemberita. – Bernama

    Namun, di sebalik keterujaannya menunggu tarikh mengundi, Syakirah turut berasa bimbang.

    “Saya bimbang kertas undi saya lewat sampai sebab sistem pos Qatar ini sangat lembab,” kongsinya dengan Bernama melalui WhatsApp.

    Kebimbangan Syakirah itu berasas kata pakar dan juga aktivis. Ini kerana menurut mereka, sekalipun hak mengundi bagi rakyat Malaysia di luar negara telah diperluas, sistem pengundian secara pos masih bermasalah. 

    Bagi kebanyakan pakar, hal ini adalah sesuatu yang malang kerana undi perantau boleh membawa impak yang agak besar kepada keputusan pilihan raya. Ini kerana, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu setakat 2020, terdapat kira-kira 1.86 juta rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja di luar negara, atau enam peratus daripada keseluruhan populasinya. Malah, data 2019 menunjukkan di Singapura sahaja terdapat hampir sejuta rakyat Malaysia di sana.

    “Angka 1.86 juta orang itu mewakili sekitar sembilan peratus pengundi dan kita perlukan jumlah keluar mengundi yang tinggi pada PRU kali ini,” kata Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann.

    “Satu daripada cara untuk memastikan perkara itu berlaku ialah menambah baik akses untuk mengundi.”

    Setakat 9 Oktober lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan 21.17 juta pengundi berdaftar, iaitu pertambahan lebih 6.23 juta pemilih berbanding pilihan raya sebelum ini.

    Masalah 

    Walaupun hanya kira-kira empat tahun setengah memisahkan PRU14 dan PRU15 yang dijadualkan berlangsung pada 19 November ini, wujud peningkatan ketara jumlah pengundi dalam Daftar Pemilih.

    Antara faktor penyumbang kepada peningkatan itu ialah undang-undang baharu yang memperluas hak mengundi bagi rakyat Malaysia, termasuk menurunkan had umur layak mengundi dan menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun serta pendaftaran automatik bagi semua warganya yang berusia 18 tahun ke atas. 

    Undang-undang baharu ini juga menyaksikan syarat kelayakan bagi pengundi pos luar negara seperti tidak membenarkan rakyat Malaysia di Singapura serta kawasan lain yang bersempadan dengan Malaysia mengundi secara pos, dihapuskan. Sebelum ini, warga Malaysia yang tinggal di kawasan bersempadan dengan negara disyaratkan pulang ke tanah air jika ingin mengundi.

    Penambahbaikan undang-undang itu bagaimanapun tidak menghapuskan cabaran pengundian pos dengan rata-rata pemerhati menjangkakan jumlah yang mengundi tidak sampai 10 peratus daripada keseluruhan anak rantau di luar negara. Akan tetapi, angka itu masih tinggi berbanding PRU14 yang mana hanya 3,653 orang mengundi. Namun, pada masa itu jumlah pengundi yang layak juga tidak seramai kali ini. 

    Pakar dan aktivis menyenaraikan ‘tidak berminat’, ‘tidak tahu’ serta isu logistik sebagai antara punca. Bernama menghubungi beberapa rakyat Malaysia di luar negara. Sesetengahnya mengakui tidak tahu bahawa mereka layak mengundi. Namun apabila dimaklumkan yang mereka sebenarnya layak, ada pula yang memberi alasan tidak berminat untuk mengundi.

    “Bagi yang berusia 18 dan 20 tahun, mereka mungkin akan keluar mengundi. Namun bagi yang didaftarkan secara automatik, saya rasa mereka tidak akan ambil peduli (pasal mengundi), kerana bagi saya, itulah sebabnya mereka tidak mendaftar dulu walaupun telah layak,” kata Azmi Hassan, felow kanan di Nusantara Think Tank.

    Menurutnya, disebabkan mereka tinggal di luar negara, ramai yang berasa  tidak terkesan oleh ketidakstabilan politik yang membelenggu tanah air.

    Dalam pada itu, ada yang teruja untuk mengundi tetapi tidak sempat mendaftar. Ini belum lagi bercakap mengenai isu logistik.

    Prof James Chin daripada University of Tasmania memberitahu Bernama, kekangan dalam sistem undi pos sedia ada sukar diatasi oleh kebanyakan pengundi. 

    “Jika awda anggap diri awda adalah rakyat Malaysia, maka menjadi tanggungjawab awda untuk mengundi. Cuma bagi saya sistem sedia ada ini terlalu renyah. Walaupun warga Malaysia di luar negara teruja diberikan peluang mengundi, hakikatnya sistem itu menghalang ia daripada menjadi kenyataan,” jelasnya.  

    Masalah utama ialah tempoh yang agak singkat untuk mereka mengundi dan undi itu dapat dihitung bersama-sama kertas undi lain. SPR menetapkan hari penamaan calon pada 5 November. Kertas undi hanya akan dicetak dengan nama calon serta diposkan selepas hari berkenaan.

    Pengundian pula ditetapkan pada 19 November, iaitu hanya ada 14 hari bagi pengundi luar negara menerima dan memangkah kertas undi, mencari saksi untuk menandatangani kertas undi serta mengepos semula kertas undi itu ke Malaysia. Kertas undi tersebut harus sampai di tangan pegawai pengurus pilihan raya kawasan yang berkenaan sebelum tempoh pengundian tamat bagi membolehkan undi tersebut diambil kira. 

    “Tidak sukar untuk mendapatkan saksi kerana kemungkinan besar seseorang itu menetap bersama keluarga atau tinggal dalam sebuah komuniti yang juga ada rakyat Malaysia dan boleh menjadi saksi. Cabaran utamanya ialah logistik, iaitu memastikan kertas undi sampai di Malaysia dalam masa yang ditetapkan,” kata Presiden Malaysia Students’ Global Alliance Jonathan Lee.

    Menyifatkan tempoh 14 hari itu sebagai ‘amat singkat’, Setiausaha Agung Global Bersih Nirmala Devi Windgaetter berkata pandemik menjejaskan sistem penghantaran mel global, sekali gus melambatkan penghantaran kertas undi.

    “Dua bulan lepas, Global Bersih melaksanakan latihan undi pos, iaitu kami minta mereka hantar surat biasa dari Eropah dan Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia. Dari AS, ia ambil masa 18 hingga 21 hari untuk sampai, sementara dari Eropah, ambil masa 15 hingga 18 hari,” katanya.

    Seorang pegawai SPR yang tidak mahu dinamakan, mengakui tempoh yang diperuntukkan itu ‘berisiko’ dan menasihati pengundi agar tidak menangguhkan pengeposan kertas undi yang sudah siap dipangkah. Pegawai lain pula memberi jaminan petugas mereka bekerja siang dan malam termasuk pada hujung minggu untuk memproses kertas undi.

    Nirmala dan pertubuhan prodemo-krasi lain bagaimanapun tidak mahu mengambil risiko. Beliau berkata pengundi boleh menghantar kertas undi masing-masing melalui mel ekspres, namun belanjanya agak mahal, atau menyerahkan kertas undi kepada sukarelawan yang akan membawanya pulang ke tanah air sebelum dipos atau dihantar terus kepada pegawai pengurus pilihan raya kawasan yang berkenaan.

    Impak

    Sekalipun  pakar bersetuju jumlah pengundi luar negara tidak cukup besar untuk memberi kesan ketara kepada keputusan pilihan raya, mereka berpandangan impak tetap ada.

    Sesetengah pemerhati berpendapat undi dari luar negara boleh menjadi penentu di satu-satu kawasan. Kerusi di kawasan bandar mempunyai jumlah pengundi yang lebih ramai berbanding di luar bandar. 

    Pada masa ini, Bangi di Selangor dicatatkan sebagai kawasan paling padat pengundi dengan kira-kira 300,000 orang, sementara Igan, Sarawak merekodkan jumlah paling sedikit iaitu sekitar 28,000 pemilih. Kawasan paling kurang penduduk di Selangor ialah Sabak Bernam, iaitu hanya kira-kira 51,000 orang.

    “Jika seorang remaja 18 tahun mengundi di Bangi, kuasa undiannya ialah satu perenam berbanding seorang pengundi sebaya di Sabak Bernam,” kata Danesh Prakash Chacko, Pengarah Tindak Malaysia.

    Sekalipun pakar percaya kebanyakan rakyat Malaysia di luar negara datang dari kawasan berpenduduk padat di pusat bandar, Nirmala berkata itu tidak semestinya benar.

    Beliau berkata ramai rakyat Malaysia di luar negara berasal dari kawasan luar bandar seperti pelajar dan penghijrah ekonomi yang meninggalkan tanah air bagi mencari peluang yang lebih baik di negara lain. Fann berkata pengundi luar negara juga boleh menjadi faktor penentu di kawasan sengit.

    “Jika lebih 100,000 rakyat Malaysia di luar negara mengundi secara pos, ia mungkin membawa impak di kawasan yang bermajoriti tipis, khususnya pada pilihan raya kali ini yang kami jangka menyaksikan persaingan tiga atau empat penjuru,” ulasnya.

    Pakar dan penganalisis keputusan PRU14 berpendapat pengundi muda, khususnya pelajar di luar negara, menyumbang kepada kejatuhan Barisan Nasional pada PRU itu. Ramai yang pulang ke tanah air untuk mengundi.

    Bagaimanapun Chin tidak menjang-ka pengundi luar negara akan memberi kesan yang sama pada PRU15 ini.

    “Di kawasan luar bandar, amat sukar (untuk hantar undi pos). Sistem tidak akan dapat menampung jumlah pengundi luar negara yang ramai. Tidak kira berapa ramai yang mendaftar, mereka tidak akan dapat mengubah keputusan mana-mana kerusi di Malaysia kerana jumlah mereka tidak memadai untuk itu,” katanya.

    Lee yang menetap di UK, menganggarkan kira-kira 100,000 rakyat Malaysia telah mendaftar untuk mengundi secara pos pada PRU15. Bagi yang lain, mereka boleh pulang ke tanah air, namun kos perjalanan udara yang tinggi mungkin menghalang mereka berbuat demikian. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...