Thursday, May 16, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Riadah berbasikal semangat Hari Kebangsaan meriah

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Cuaca hujan pada awal pagi dan kemudiannya menjadi cerah bagai membakarkan semangat para peserta untuk sama-sama menyertai Acara Riadah Berbasikal Semangat Hari Kebangsaan 2023 di ibu negara, hari ini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berangkat bercemar duli menyertai acara berkenaan yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

    Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Keberangkatan Baginda serta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad serta menteri-menteri kabinet lain.

    Acara meriah itu dimulakan dengan Baginda Sultan dijunjung bagi menandatangani Baju Kenangan dan bergambar ramai bersama Jawatankuasa Riadah Berbasikal Semangat Hari Kebangsaan 2023.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah bersama paduka-paduka anakanda, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menyertai Acara Riadah Berbasikal Semangat Hari Kebangsaan 2023 di ibu negara.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mendahului riadah berbasikal diikuti oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Baginda Sultan berkenan menandatangani Baju Kenangan.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung bergambar ramai.
    Baginda Sultan berkenan menyaksikan persembahan muzik tradisi.
    Baginda Sultan berkenan menyaksikan pameran permainan tradisional.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan dijunjung berswafoto bersama orang ramai.

    Antara yang menyertai acara riadah berbasikal berkenaan.
    Persembahan oleh pelatih PKBN memeriahkan acara Riadah Berbasikal Semangat Hari Kebangsaan 2023 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin.

    Baginda Sultan berkenan mendahului riadah berbasikal mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh 10.3 kilometer dan melalui jalan-jalan utama antaranya Jalan Haji Besar, melintasi Sekolah Rendah Pusar Ulak menuju ke Jalan Kumbang Pasang melalui Taman Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan menuju ke Jalan Perdana Menteri, membuat pusingan U di pusing keliling di hadapan Bangunan Jabatan Perdana Menteri menuju kembali ke Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien melalui Jalan Kumbang Pasang, melintasi Maktab SOAS dan Sekolah St Andrew, melalui Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan memasuki Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien.

    Baginda Sultan berkenan meneruskan riadah berbasikal ke Bandar Seri Begawan sebelum kembali dan menamatkan kayuhan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

    Baginda kemudiannya berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi seterusnya Baginda serta kerabat diraja berkenan menyaksikan perbarisan lalu daripada seramai 39 orang pekayuh basikal yang berjaya menempuhi jarak 39 kilometer dan pasukan inline skater serta persembahan padang daripada pelatih-pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) termasuk silat, Tabatta dan body combat.

    Selain riadah berbasikal, Baginda Sultan berkenan menyaksikan secara lebih dekat lagi kemeriahan program Bandarku Ceria yang terdapat di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien iaitu Pameran Permainan Warisan dan Budaya Brunei di mana ia mengetengahkan permainan-permainan tradisi seperti Pasang, Salok-salokan, permainan Buah Lapas-lapas dan Congkak oleh Jabatan Muzium-muzium termasuk permainan Pasang bersaiz gergasi.

    Menerusi pameran permainan tradisi berkenaan, ia dihasratkan untuk mendedahkan dan mendapatkan lebih ramai orang khususnya generasi muda mengenali permainan tradisi atau warisan negara.

    Sementara itu, produk-produk yang dihasilkan oleh Pusat Bahagia dan Pusat Kegiatan Warga Emas turut dipamerkan bersama-sama pemberigaan mengenai Talian Kebajikan 141 dan Talian Anak 121 oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat.

    Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula tidak ketinggalan mengadakan pelbagai kuiz dan aktiviti termasuk Sahibba, Kuiz Teka Perkataan Melayu Brunei Kitani, Kuiz Teka Gambar Tradisi Melayu Brunei, Kuiz Pantun, pameran dan jualan buku DBP, Celik Jawi, Terumpak Cakah, Kenali Dialek atau Dialog Kedayan, Masjid-masjid Brunei, 7 Dialek, Masakan Brunei dan Perambahan Brunei.

    Baginda turut berkenan bercemar duli dan meyaksikan dengan lebih dekat persembahan muzik tradisi, persembahan silat, persembahan takraw, pameran dan tunjuk ajar bermain gasing serta pameran dan tunjuk ajar membuat kikik.

    Setelah dua tahun tidak diadakan disebabkan COVID-19, Riadah Berbasikal Semangat Hari Kebangsaan 2023 merupakan yang pertama diadakan setelah negara memasuki Fasa Endemik.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    16 warga Sri Lanka maut dalam perang Ukraine

    COLOMBO, 15 MEI - Sekurang-kurangnya 16 orang askar upahan Sri Lanka telah terbunuh dalam pertempuran antara Rusia dan Ukraine, kata timbalan menteri pertahanan negara...