Tuesday, December 3, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribuan pekerja VW mogok, tuntut perlindungan pekerjaan

    HANOVER, JERMAN, 2 DIS – Ribuan pekerja Volkswagen (VW) mulakan mogok di kilang-kilang seluruh Jerman hari ini dalam tindak balas susulan rancangan syarikat itu untuk memberhentikan ribuan kakitangan dan menutup beberapa kilang.

    Para pekerja, yang mengibarkan sepanduk berbunyi ‘Kamu mahu perang, kami bersedia!’ dan mengibarkan bendera merah Kesatuan sekerja IG Metall, sebagai bantahan terhadap rancangan pihak pengurusan untuk mengadakan pemecatan besar-besaran.

    VW terkesan teruk akibat kos pembuatan tinggi di Jerman, peralihan yang perlahan kepada kenderaan elektrik (EV) serta persaingan sengit di pasaran utama seperti China.

    Kumpulan VW yang memiliki 10 jenama dari Audi dan Porsche hingga Skoda dan Seat berkata ia ‘menghormati hak pekerja’ dan percaya kepada ‘dialog yang membina’ dalam usaha untuk mencapai ‘penyelesaian berkekalan yang disokong secara kolektif’.

    Syarikat itu turut memastikan ‘langkah-langkah untuk menjamin penghantaran segera’ semasa mogok berlangsung.

    Kesatuan IG Metall dan majlis pekerja telah berusaha untuk melindungi pekerjaan sejak VW mengumumkan pada bulan September mereka sedang mempertimbangkan untuk menutup beberapa kilang di Jerman, yang menempatkan sekitar 120,000 pekerja.

    Jurucakap IG Metall di kilang VW di Zwickau, timur Jerman, berkata, “Rakan sekerja kami marah. Pekerjaan mereka terancam selama tiga bulan dan kini menunggu peluang untuk menyuarakan pendapat mereka.”

    Ribuan pekerja berarak bersama deretan EV baharu yang keluar dari kilang Zwickau sebagai sebahagian daripada tindakan industri. Mogok turut berlaku di kilang-kilang lain, dari Hanover hingga ke ibu pejabat bersejarah VW di Wolfsburg. – AFP

    Pekerja VW mogok di luar kilang kereta komersial pembuat kereta Jerman VW di Hanover, utara Jerman, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda