SYDNEY, 2 FEB – Kumpulan kebajikan Australia menuntut pembebasan beribu-ribu ekor biri-biri dan lembu yang terkandas dalam sebuah kapal selepas perjalanan haiwan itu ke Timur Tengah dialihkan akibat serangan kumpulan Houthi Yaman di Laut Merah.
Ternakan itu, dilaporkan berjumlah lebih 15,000, kebanyakannya biri-biri, telah menghabiskan masa kira-kira empat minggu di atas kapal MV Bahijah sejak belayar dari Fremantle, Perth di Australia Barat pada 5 Januari lalu.
Kapal itu membatalkan rancangannya untuk belayar melalui Laut Merah kerana ‘keadaan keselamatan yang semakin teruk’ di sana dan diarahkan pulang ke Australia, kata Jabatan Pertanian dalam satu kenyataan.
Ia berlabuh semula di Fremantle kelmarin selepas tiba di pantai Australia Barat awal minggu ini.
Dua doktor haiwan minggu ini melaporkan ‘tidak timbulnya isu kesihatan atau kebajikan haiwan ‘di atas kapal itu, kata jabatan kerajaan.
Tetapi haiwan itu telah terdedah kepada ‘stres kesesakan disebabkan jumlah yang banyak’ semasa perjalanan yang lama, kata Ketua Pegawai Sains RSPCA Australia, Suzanne Fowler.
Beliau memetik pergerakan kapal, risiko penyakit dan keadaan di atas kapal termasuk bahang panas, dengan suhu di Fremantle mencecah kira-kira 38 darjah, kelmarin.
Kambing biri-biri terutamanya akan berdiri di atas najis mereka sendiri disebabkan cabaran membersihkan kandang haiwan tersebut, Fowler memberitahu AFP hari ini. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/02/P19-2B-WEB_03022024.jpg)