Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Ribut landa Australia, ribuan terputus bekalan elektrik

    SYDNEY, 26 JAN – Angin kencang melanda pantai timur laut Australia hari ini, menyebabkan ribuan penduduk terputus bekalan elektrik, namun kawasan itu terlepas daripada kerosakan teruk apabila Taufan Tropika Kirrily semakin perlahan menjadi ribut tropika.

    Angin kencang dengan kelajuan sehingga 170 kilometer sejam membadai bandar dan pekan pantai, manakala pokok tumbang menyebabkan kerosakan harta benda. Pegawai cuaca memberi amaran tentang hujan lebat yang berterusan dan angin kencang.

    Bagaimanapun, taufan itu telah berubah kepada ribut tropika hari ini selepas mendarat di negeri Queensland semalam. Tiada kematian atau kecederaan serius dilaporkan.

    “Ia masih sistem cuaca yang bergolak dan membawa hujan yang lebat ke pedalaman Queensland,” Biro Meteorologi menulis di media sosial hari ini.

    Amaran cuaca buruk kekal untuk hujan lebat dengan kemungkinan angin kuat. Northwest Queensland dijangka menerima kira-kira 200 milimeter hujan dalam beberapa hari akan datang, kata Biro Meteorologi.

    Pantai Queensland adalah popular dalam kalangan pelancong, tetapi cuaca buruk menimbulkan masalah untuk cuti Hari Australia hari ini kerana beberapa tapak perkhemahan terpaksa ditutup.

    Perdana Menteri Queensland, Steven Miles memberi amaran ancaman itu belum berakhir. “Walaupun keadaan sedikit tenang, kita masih perlu berwaspada, dan kita akan terus bersedia untuk menyokong komuniti Queensland,” katanya. – AP

    Ombak kuat melanda pantai di Bowen, Australia, pada 25 Januari. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...