Sunday, March 16, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    RM30,000 untuk pemberi maklumat pembunuh gajah

    TAWAU, 1 OKT – Ganjaran RM30,000 menanti pemberi maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh seekor gajah pygmy di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan dekat sini baru-baru ini.

    Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata ganjaran itu masing-masing RM10,000 daripada JHL, Orangutan Appeal United Kingdom dan sebuah pertubuhan sukarela.

    Pada 25 September lalu, sekumpulan pemancing menemukan bangkai gajah berkenaan dalam keadaan terduduk di tebing Sungai Udin, Kalabakan sebelum gambar haiwan itu tersebar di media sosial.

    Susulan itu, Jabatan Hidupan Liar melakukan siasatan dan mendapati gading gajah itu dipotong dan hasil bedah siasat mendapat terdapat 70 tembakan di pipi, kepala, badan serta punggung gajah berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas, berkata gajah itu ditembak menggunakan senapang patah dan pembunuhnya boleh didakwa di bawah Akta Senjata Api 1960 serta mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar di bawah JHL.

    Menurut Peter, suspek itu kini dalam radar pemburuan polis dan JHL menerusi Operasi Khazanah.

    “Jadi kita lancarkan Ops Khazanah Bersepadu, menggembleng semua tenaga penguat kuasa kita yang ada dan kita bersetuju tentang kaedah yang akan digunakan dalam masa terdekat ini setelah kita kenal pasti sasaran,” katanya dan menambah bahawa operasi itu akan turut disertai Jabatan Perhutanan Sabah.

    Peter berkata polis sudah mengenal pasti motif dan mengesyaki suspek merupakan pemburu gading gajah berdasarkan gading pada gajah yang dibunuh itu, hilang.

    “Daripada siasatan dan taklimat bersama JHL memang gajah ini dibunuh, sengaja dibunuh, dan untuk tujuan mengambil gading, ini pembunuhan kejam,” katanya lagi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda