KUALA LUMPUR, 3 DIS – Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) merancang untuk mengagihkan pembiayaan sebanyak RM330 juta kepada 22,000 usahawan pada tahun depan.
Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata sehingga Oktober lepas, tabung itu telah mengagihkan sebanyak RM346 juta kepada 17,253 usahawan di seluruh negara.
Dalam ucapan pada sambutan ke-20 TEKUN Nasional di sini, katanya pelbagai produk baharu akan dilancar untuk menyokong industri keusahawanan negara.
Beliau berkata TEKUN Nasional menandatangani perjanjian dengan Yayasan KRU untuk memperkukuh industri kreatif negara hari ini. Katanya TEKUN Nasional turut bercadang untuk memperluaskan perkhidmatan ‘TEKUN Mart’ dan ‘TEKUN Delivery’ ke seluruh negara.
Mohamad Suparadi berkata pada tahun ini, TEKUN Nasional diperuntukkan sebanyak RM100 juta sahaja dan berharap kerajaan dapat menambah peruntukan bagi agensi itu di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan. – Bernama