Friday, May 3, 2024
24 C
Brunei

    -

    Rombongan PTET sertai SEAYLP di AS

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Rombongan lima orang pelajar dan seorang guru dari Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) berlepas untuk menyertai Program Kepimpinan Belia Asia Tenggara (SEAYLP) yang berlangsung di Amerika Syarikat (AS).

    Program selama tiga minggu di AS berkenaan menumpukan kepada pendidikan sivik, kepimpinan, kepelbagaian dan kesukarelawanan di mana para peserta program telah dipilih oleh Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

    Sehubungan dengan itu, hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), hari ini, untuk mengucapkan selamat belayar kepada rombongan pelajar dan guru berkenaan ialah Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Jabatan Sekolah-Sekolah, Haji Juma’ata Sonadey bin Haji Mornie; Pegawai Hal Ehwal Awam Kedutaan AS, Katherine Ntiamoah; pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan dan Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam serta ibu bapa dan keluarga para peserta program.

    Rombongan berkenaan terdiri daripada Awang Mohammad Adi Daniel bin Mohammad Ramle, Awang Muhammad Fahrin bin Muhammad Juleezam, Awang Adrian Iskandar bin Mohammad Gadaffi, Dayang Nur Farisha Damia binti Mohd Shukriwan, Dayang Nur Batrisya Dzul Izzie Abi Rafdhyie serta Pegawai Pendidikan, Dayang Nurul Hadina binti Haji Alias.

    Program yang dibiayai sepenuhnya oleh Jabatan Negara AS akan diadakan di Northern Illinois University (NIU) bermula dari 20 April hingga 12 Mei.

    Rombongan PTET yang akan menyertai Program SEAYLP selama tiga minggu di AS. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Haji Juma’ata Sonadey dan Katherine Ntiamoah memberikan kata-kata nasihat kepada para peserta program sebelum berangkat di LTAB. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Mengulas mengenai program berkenaan, Katherine Ntiamoah berkata 2024 menandakan pertukaran SEAYLP ke-12 bagi peserta Brunei sejak pengenalan program pada 2009.

    Beliau berkata tahun ini juga menandakan 40 tahun sejak AS menubuhkan hubungan diplomatik dengan Negara Brunei Darussalam dan SEAYLP seperti program-program pertukaran AS yang lain menumpukan kepada pendidikan, kepimpinan dan pembangunan profesional bagi memupuk kefahaman bersama di antara kedua-dua buah negara.

    Menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, jelas Katherine lagi, program cemerlang itu telah memperkayakan hidup dan kemahiran kepimpinan belia Brunei untuk lebih dari sedekad serta pada masa yang sama, mengukuhkan lagi hubungan rakyat di antara Negara Brunei Darussalam dan AS.

    Program SEAYLP merupakan sebuah program pertukaran yang membawa pelajar-pelajar dan pendidik sekolah tinggi dari negara-negara anggota ASEAN ke Northern Illinois University bagi program pembangunan belia selama tiga minggu dengan aktiviti amali, bengkel, seminar dan lawatan tapak.

    Para peserta akan meneroka cabaran-cabaran dihadapi bersama oleh AS dan negara-negara anggota ASEAN menerusi tiga tunggak Komuniti ASEAN iaitu politik dan kerjasama sekuriti, pembangunan kemahiran ekonomi dan kepimpinan sosio budaya.

    Semasa pertukaran itu, para peserta juga akan bekerjasama untuk membangunkan projek yang akan menangani keperluan komuniti mereka apabila kembali ke tanah air nanti.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...