Friday, May 3, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Duta AS anjur aktiviti fizikal bersama kanak-kanak YASKA

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Dalam usaha untuk berkongsi kemeriahan dan keriangan dengan bekas-bekas pesakit kanser pediatrik, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam dan Yayasan Kanser Kanak-Kanak (YASKA) mengadakan majlis istimewa bagi meraikan ulang tahun hubungan diplomatik antara AS dan Negara Brunei Darussalam serta Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Peak Club, hari ini.

    Hadir menyertai aktiviti yang diadakan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn McClelland, kakitangan Kedutaan AS, kanak-kanak serta sukarelawan dari YASKA.

    Semasa acara itu, kakitangan Kedutaan AS bersama kanak-kanak yang diraikan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti menarik termasuk mencari harta tersembunyi.

    Acara itu dihasratkan untuk meningkatkan semangat bekas pesakit kanser kanak-kanak dengan menyediakan aktiviti fizikal dan menyeronokkan, pada masa yang sama memberikan peluang bagi kakitangan Kedutaan AS untuk melakukan khidmat dan mendekati masyarakat.

    PYT Caryn McClelland ketika mengulas mengenai acara itu menyatakan, hari kesukarelawan bersama YASKA mencerminkan kekukuhan hubungan warga-ke-warga Brunei dan AS serta perasaan belas kasihan dan perpaduan masyarakat.

    Dalam hubungan itu, beliau menyatakan bahawa mereka amat gembira kerana dapat memupuk semangat berkhidmat untuk masyarakat serta mengadakan sambutan bermakna semasa Sambutan Hari Raya termasuk meraikan hubungan diplomatik kukuh 40 tahun antara AS dan Negara Brunei Darussalam.

    Tahun 2024 menandakan 40 tahun sejak AS menubuhkan hubungan diplomatik dengan Negara Brunei Darussalam. Namun begitu, kedua-dua buah negara telah menikmati persahabatan yang makmur dan berpanjangan sejak 1850 melalui Treaty of Peace, Friendship, Commerce and Navigation, yang masih kekal berkuat kuasa ke hari ini.

    AS menganggap Brunei sebagai rakan kongsi utama di rantau Indo-Pasifik, memajukan matlamat bersama dalam memperkukuhkan hubungan warga-ke-warga, meningkatkan kemakmuran ekonomi serta memajukan kerjasama sekuriti.

    PYT Caryn McClelland dan kakitangan Kedutaan AS, ikut serta dalam aktiviti tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba punca ratusan ribu ikan mati

    DONG NAI, 2 MEI - Beratus ribu ikan mati dalam takungan di wilayah Dong Nai di selatan Vietnam disebabkan oleh gelombang panas dan pengurusan...