Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Roti perdamaian’ untuk pelarian Ukraine

    PARABIAGO, ITALI – Sebuah kedai roti kecil di utara Itali cuba melakukan bahagiannya untuk membantu pelarian Ukraine melarikan diri daripada serangan Rusia.

    Tukang roti Matteo Cunsolo membuat dan menjual ‘roti perdamaian’ dalam warna biru dan kuning bendera Ukraine, dengan hasil akan disalurkan kepada dana kebajikan membantu pelarian yang menyeberang ke Itali atau yang tinggal di Ukraine.

    Selain itu, Cunsolo dan pembuat roti kawasan telah membuat 600 kilogram biskut untuk diberikan kepada pelarian muda. Dia bercadang untuk membawa biskut itu, bersama-sama dengan sebuah trak yang penuh dengan sumbangan tempatan seperti lampin, makanan, ubat-ubatan dan pakaian, ke sempadan Ukraine-Poland.

    “Selepas melarikan diri dari bom, mungkin berjalan melintasi hutan pada waktu malam dalam keadaan sejuk, saya rasa biskut adalah seperti pelukan kecil yang boleh membantu membawa senyuman pada wajah kanak-kanak,” katanya, berdiri di hadapan ketuhar di La Panetteria di Parabiago, berhampiran Milan.

    Cunsolo berkata dia mendapat idea untuk membakar selepas menonton laporan TV tentang sambutan yang diterima oleh rakyat Ukraine di sempadan Poland, mereka diberi minuman hangat dan sekeping roti.

    Matteo Cunsolo menunjukkan ‘roti perdamaian’ di Parabiago berdekatan Milan di utara Itali. – AP
    Kelihatan Matteo Cunsolo menggunakan semburan berasaskan mentega dan stensil ‘Peace’ untuk menghiasi setiap roti. – AP
    Seorang pekerja kedai menjual ‘roti perdamaian’ yang dibuat oleh pembuat roti Matteo Cunsolo. – AP

    “Apabila saya mendengar perkataan roti, saya terfikir, ‘Ok, saya seorang tukang roti, apa yang boleh saya lakukan untuk membantu?’”

    Dia menggunakan pewarna makanan semula jadi untuk membuat roti, kunyit untuk mewarna doh kuning, dan penyerapan yang dibuat daripada daun bunga blue butterfly pea atau clitoria ternatea, untuk mendapatkan warna biru. Setelah dibakar, dia menggunakan semburan berasaskan mentega dan stensil ‘Peace’ untuk menghiasi setiap roti.

    “Ini adalah satu inisiatif yang sangat penting,” kata pelanggan Maria Pascolin ketika dia membeli-belah di kedai roti. “Ia adalah sumbangan yang kecil, tetapi jika kita semua memberi sumbangan, ia akan membantu.”

    Cunsolo membuat kira-kira 20 kilogram ‘roti perdamaian’ setiap hari, dan setakat ini telah mengumpulkan lebih daripada 2,000 euro (AS$2,214) untuk kerja amal Lion’s Club tempatan.

    “Saya percaya apa jua cara awda boleh lakukan demi untuk cuba membantu orang lain,” katanya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda