Tuesday, January 7, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rujuk Al-Quran sebagai panduan duniawi Ukhrawi

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Umat Islam dikehendaki untuk merujuk Al-Quran sebagai panduan dalam semua perkara duniawi dan ukhrawi dengan membaca dan beramal dengan ajarannya kerana hanya dengan cara inilah langkah kita akan terarah ke jalan yang selamat di dunia dan di akhirat.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara 2023 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini.

    Terdahulu Baginda bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana berpeluang menghidupkan bulan Ramadan dan meraikan peristiwa turunnya kitab suci Al-Quran.

    “Tidak syak lagi peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan detik yang amat bersejarah bagi umat Islam. Al-Quran akan kekal terpelihara daripada sebarang kecacatan dan terselamat daripada ancaman anasir-anasir jahat sehingga ke hari kiamat,” titah Baginda.

    Oleh yang demikian, Baginda menekankan untuk tidak perlu khuatir dengan pelbagai kejahatan yang dilakukan ke atas Al-Quran, kerana bukan kita yang menjaganya tetapi Allah SWT selaku penjaga mutlak kitab Al-Quran.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan beramah mesra bersama keluarga peserta musabaqah dan orang ramai.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan titah.

    Apa yang perlu kita buat ialah merujuk kepada Al-Quran sebagai panduan dalam semua perkara duniawi dan ukhrawi dengan membaca dan beramal dengan ajarannya.

    Hanya dengan cara inilah langkah kita akan terarah ke jalan yang selamat di dunia dan di akhirat.

    Baginda juga menekankan bahawa Al-Quran itu adalah santapan yang membekalkan kekuatan kepada para hamba. Al-Quran mengajak umat Islam untuk bersabar kerana sabar adalah penawarnya.

    “Al-Quran menyuruh kita berikhtiar kerana ikhtiar adalah cahaya yang menyuluh. Al-Quran memandu ke jalan yang lurus sewaktu kita bertawakal, dan Al-Quran yang memiliki keajaiban tiada henti-hentinya menyuruh kita berdoa mengharap pertolongan Allah,” tambah Baginda.

    Sebab itulah, menurut Baginda, semasa berhadapan dengan kepayahan dan kesukaran, sabar adalah menjadi kekuatan untuk bertahan, kerana kita tahu bahawa Allah SWT sentiasa bersama dengan orang-orang yang bersabar dan adapun ujian merupakan tanda kasih sayang Allah ke atas hambaNya.

    Baginda Sultan kemudiannya bertitah menyentuh ikhtiar yang merupakan ibadah dan Al-Quran menyuruh kita supaya berusaha untuk mencapai matlamat memperbaiki kehidupan.

    “Dan akhir sekali ialah berdoa setelah bertawakal. Doa pula adalah rasa kehambaan dan kerendahan diri kita di hadapan Allah. Allah sangat hampir dan sentiasa bersedia untuk mengurniakan belas kasihan terhadap para hamba yang meminta.”

    Baginda juga menegaskan keberadaan umat Islam pada abad teknologi tinggi ini sewajarnya semakin didekatkan dengan Al-Quran dan tiada alasan untuk berdalih melambat-lambatkan berdamping dengan Al-Quran.

    Mengambil sukut baik di Bulan Ramadan ini, Baginda menyeru umat Islam di negara ini berazam untuk melazimkan diri dengan Al-Quran, supaya masyarakat dan negara sentiasa diilhami dengan cahaya Al-Quran.

    “Maka Beta dengan ini tidak lupa merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua peserta, khasnya mereka yang berjaya di dalam Musabaqah Menghafaz Al-Quran berserta Pemahamannya Peringkat Kebangsaan dan Peringkat Negara Anggota MABIMS Tahun 1444 Hijrah bersamaan 2023 Masihi,” titah Baginda.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda