TOKYO – Setiap kali menjelang perayaan Halloween, banyak rumah hantu akan dibangunkan di Jepun, di mana orang ramai mencari pengalaman menakutkan yang menjadi tradisi semasa musim panas.
Di salah sebuah rumah hantu di Tokyo, kelibat hantu berbaju kimono dengan mata berdarah dan mengerang kesakitan seperti zombi kelihatan berkeliaran mendekati pengunjung, menambahkan suasana menyeramkan kepada pengalaman tersebut.
Musim panas di Jepun sering dikaitkan dengan kematian, kerana kepercayaan bahawa roh nenek moyang akan kembali ke tempat mempersembahkan korban mereka semasa perayaan Obon pada pertengahan bulan Ogos.
Oleh itu, lawatan ke rumah hantu menjadi salah satu aktiviti pilihan penduduk Jepun untuk meredakan tekanan akibat cuaca panas dan lembap — bukan sahaja kerana adanya penghawa dingin moden, tetapi juga disebabkan sensasi seram yang memberi rasa seram sejuk.
Selepas melawat rumah hantu yang terletak di taman tema tertutup Namjatown, pelajar universiti Misato Naruse, 18 tahun, memberitahu AFP bahawa dia datang bersama rakannya Himari Shimada ‘untuk menyejukkan badan’.
“Saya berpeluh sejuk tanpa sedar. Saya sungguh ketakutan,” kata Naruse, seorang pelajar universiti, sambil berdiri di sebelah Shimada, 18, yang kelihatan keletihan dan tidak bersuara.
Jepun kini menghadapi musim panas yang semakin sukar, sebahagiannya disebabkan oleh perubahan iklim.
“Tahun lepas sangat panas, tetapi tahun ini terasa lebih panas. Saya tertanya-tanya betapa panasnya dalam beberapa tahun akan datang,” kata Naruse.
Tahun ini, Jepun mengalami Julai yang paling panas sejak rekod bermula 126 tahun lalu, dengan suhu di negara itu 2.16 darjah Celsius lebih tinggi daripada purata.
Di Tokyo sahaja, sebanyak 123 orang dilaporkan meninggal dunia akibat strok haba pada bulan Julai lalu, menurut pihak berkuasa tempatan.
Gelombang haba melampau yang dicetuskan oleh perubahan iklim turut menyebabkan peningkatan jumlah ambulans yang digerakkan.
Menariknya, beberapa rumah hantu di Jepun menggunakan slogan seperti “seram yang menyejukkan musim panas,” memanfaatkan reputasi mereka sebagai tempat yang mampu memberikan kesegaran di musim panas.
Konsep itu dikatakan berakar daripada teater tradisional Jepun, Kabuki, menurut Hirofumi Gomi, yang telah bekerja sebagai penerbit pengalaman rumah hantu selama tiga dekad.
Kisahnya mengatakan bahawa beberapa abad yang lalu, teater kabuki bergelut untuk menarik penonton pada musim panas kerana ramai yang tidak suka berhimpit-himpit di dalam tanpa penyaman udara.
Namun, keadaan berubah apabila para pelakon menukar drama manusia yang sentimental kepada kisah seram yang penuh dengan kesan visual dan alat-alat, serupa dengan rumah hantu moden.
“Untuk mereka yang sedang bergelut dengan panas, kesan visual yang memukau dan cerita hantu yang menarik lebih mudah diterima berbanding drama kehidupan manusia,” kata Gomi.
“Jadi meskipun rumah hantu tidak benar-benar menyejukkan awda, tetapi membuat awda seketika lupa tentang kepanasan,” tambahnya.
Di rumah hantu Namjatown, yang menggambarkan bandar terbiar yang dihuni roh, penganjur yakin dengan helah seram mereka yang dapat memberikan pengalaman menyeramkan kepada pengunjung.
“Dalam bahasa Jepun, terdapat ungkapan ‘kimo ga hieru,’ yang secara literal bermaksud bermaksud ‘menyejukkan hati’ — merujuk kepada perasaan meremang bulu roma,” kata Hiroki Matsubara daripada Bandai Namco Amusement kepada AFP.
“Kami percaya pengunjung dapat mengalami perasaan takut, terkejut atau ‘menyejukkan hati’, yang diharapkan dapat membantu mereka berasa kesejukan pada musim panas,” ujarnya. – AFP