Saturday, November 16, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sabah mahu teroka Ekonomi Biru bersama pelabur asing

    KOTA KINABALU, 14 DIS – Kerajaan Sabah mahu meneroka Ekonomi Biru dengan kerjasama pelabur asing yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

    Beliau berkata Ekonomi Biru menjanjikan potensi besar bagi Sabah antaranya dalam bidang perikanan dan akuakultur, perkapalan dan pengangkutan logistik, pelancongan, tenaga boleh baharu, sumber mineral, bioteknologi dan farmaseutikal, serta karbon biru.

    Sabah juga melihat potensi ekonomi itu dalam bidang pengurusan sisa dan kawalan pencemaran, kajian dan pembangunan, serta infrastruktur marin, katanya.

    “Kerajaan negeri berhasrat meneroka Ekonomi Biru yang bertujuan untuk pembangunan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

    “Semasa mengetuai delegasi ke Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China (GCET) di China pada November lepas, saya telah menjemput pelabur untuk meneroka konsep Ekonomi Biru dengan kerajaan Sabah bagi membangunkan sektor pemprosesan makanan.” katanya dalam ucapan merasmikan program SMJ-EKOB 2023 Khazanah Baharu Melalui Konsep Ekonomi Biru di Negeri Sabah Beyond Limits, Unleashing Economy di sini, hari ini.

    Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

    Hajiji berkata ini memandangkan Sabah mempunyai pantai terpanjang di Malaysia dengan lebih 1,000 kilometer, berpotensi besar untuk penternakan ikan dan hasil laut lain.

    Beliau turut meminta pelabur mempertimbangkan pelaburan dalam sektor tenaga merangkumi sumber bahan api fosil dan tenaga boleh baharu seperti solar dan angin di negeri itu. – Bernama

    Datuk Seri Hajiji Noor ketika tiba di Sekolah Kebangsaan Bundung sempena sambutan Jubli Intan sekolah itu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda