KOTA KINABALU, 29 APRIL – Pembantu Menteri Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, memohon negeri itu diberikan peruntukan pelancongan yang saksama oleh Kerajaan Persekutuan, sebagai persediaan menjana momentum Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Joniston berkata prestasi konsisten Sabah dalam menarik kehadiran pelancong antarabangsa, menunjukkan sumbangan besar negeri itu kepada sektor pelancongan negara.
“Sabah melakukan dengan baik dalam menarik pelawat antarabangsa ke Malaysia dan mencapai sasaran kami untuk kehadiran pelancong pada 2024.
“Semasa kita melakukan persiapan untuk TMM2026, saya berharap Sabah akan menerima sokongan dan peruntukan adil sewajarnya daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk terus memacu kejayaan pelancongan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata senarai cadangan untuk TMM2026 bagi Sabah telah dihantar dan beliau mengharapkan maklum balas menggalakkan.
Beliau berkata STB dijangka bertemu dengan menteri MOTAC, untuk berbincang lebih lanjut mengenai cadangan itu tidak lama lagi. – Bernama
