Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Sambutan Hari Harta Intelektual fokus wanita, inovasi

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Hak harta intelek merupakan tulang belakang kepada perkembangan dan inovasi di mana ia mengurniakan pencipta dengan hak eksklusif untuk mencipta, menggunakan, memasarkan atau menyebarkan hasil kerja mereka.

    Hak eksklusif itu memberikan para pencipta dorongan untuk meraih ganjaran daripada kerja keras yang membolehkan mereka untuk memajukan lagi usaha kreatif dan inventif mereka. Oleh itu, harta intelektual (IP) jika digunakan secara strategik, ia boleh menjadi pemangkin kuat yang merangsang inovasi, menarik pelaburan dan mengembangkan pertumbuhan ekonomi.

    Perkara itu dinyatakan oleh Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa dalam ucapannya pada Sambutan Hari Harta Intelektual Sedunia yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, hari ini.

    Menyentuh kepada tema sambutan, Wanita dan IP, beliau menyatakan bahawa golongan wanita bukan sahaja mewarnai kehidupan tetapi dengan bertambahnya sumbangan mereka kepada pelbagai industri kreatif dan saintifik, wanita juga turut membentuk dunia.

    Oleh itu, kita harus melakukan apa yang mampu untuk menggalakkan wanita menggunakan sistem IP supaya mereka dapat menambah nilai kepada kerja mereka.

    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad semasa menyampaikan Anugerah Tertiary Innovation Awards kepada salah seorang penerima yang diraikan. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Antara peserta yang hadir pada majlis tersebut kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Beliau seterusnya menyatakan bahawa di Negara Brunei Darussalam, semua wanita mempunyai keupayaan dan akses bagi memainkan peranan aktif dalam memupuk dan mengejar inovasi serta perniagaan menerusi payung lindungan IP.

    Ke arah itu, Pejabat Harta Intelektual Brunei Darussalam (BruIPO) telah berusaha dengan tekun untuk meningkatkan kesedaran mengenai hak IP dalam kalangan wanita dan secara aktif menyokong mereka dalam melindungi ciptaan dengan menyediakan perkhidmatan nasihat IP kepada perniagaan kecil yang dijalankan oleh usahawan wanita.

    Selain daripada usaha BruIPO, komitmen kepada pemerkasaan wanita juga dilaratkan kepada pelbagai agensi dan entiti di Negara Brunei Darussalam yang mengendalikan program keusahawanan dan aktiviti yang direka untuk wanita serta pemerkasaan mereka dalam usaha untuk mempelbagaikan ekonomi kita. Namun begitu, tambah Yang Berhormat Dato, bagi memanfaatkan kepelbagaian di sekeliling, kita harus terus berusaha ke arah keterangkuman dan melakukan apa yang kita mampu bagi menggalakkan wanita untuk menggunakan sistem IP serta terus mengetengahkan bakat-bakat mereka.

    Majlis seterusnya menyaksikan Yang Berhormat Dato menyempurnakan pelancaran Sambutan Hari Harta Intelektual Sedunia dan turut menyampaikan Anugerah Tertiary Innovation Awards kepada para penerima yang diraikan. Sambutan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai harta intelektual dan acara sambutan di negara ini telah dianjurkan bersama oleh BruIPO dan Datastream Digital Sdn Bhd (DST) dengan membawa tema Woman and IP: Accelerating Innovation and Creativity.

    Acara itu telah disertai oleh kira-kira 250 orang peserta dari agensi-agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, firma-firma guaman dan usahawan di mana acara mengetengahkan perbincangan dalam bidang teknologi dan inovasi serta bagaimana harta intelektual menyumbang kepada kejayaan pelbagai sektor dan industri di Brunei.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...