Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Sambutan Hari Kebangsaan penuh semangat patriotik

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat menghadiri Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, dengan sambutan membawa tema ‘Menjayakan Wawasan Negara’.

    Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    Sejurus keberangkatan tiba, Baginda Sultan serta kerabat diraja berkenan menerima hormat diraja diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’.

    Baginda Sultan kemudian dijunjung memeriksa pasukan perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sebelum berkenan berangkat semula ke pentas diraja.

    Baginda Sultan sekali lagi berkenan menerima hormat diraja diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan, sebelum pasukan perbarisan kawalan kehormatan keluar dari taman.

    Keberangkatan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah pada Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan beramah mesra dengan para peserta persembahan, kelmarin.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berserta kerabat diraja berkenan berangkat bagi beramah mesra bersama peserta persembahan padang.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung berswafoto bersama peserta persembahan.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung berswafoto.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan dijunjung berswafoto.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan dijunjung bergambar ramai.

    Upacara perhimpunan agung berkenaan turut menyaksikan terbang lalu pesawat (BlackHawk) Tentera Udara Diraja Brunei.
    Perbarisan lalu para peserta dalam Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39, kelmarin.

    ATAS & BAWAH: Orang ramai tidak ketinggalan untuk sama-sama hadir dan memeriahkan lagi Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39.

    Baginda Sultan serta kerabat diraja kemudian berkenan menyaksikan upacara perbarisan lalu di hadapan pentas diraja yang melibatkan kira-kira 3,900 orang peserta dari tujuh kumpulan dengan kumpulan pertama iaitu Kepala Perbarisan, didahului pembawa bendera Negara Brunei Darussalam berukuran besar, diikuti oleh pasukan pembaca ikrar, pasukan pembawa bendera-bendera Negara Brunei Darussalam berukuran sederhana dan bendera logo Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39.

    Perbarisan kumpulan kedua, Keamanan Negara dimulakan dari ABDB, PPDB, pasukan beruniform kerajaan, pasukan serunai dan tambur Jabatan Penjara dan pasukan beruniform lain.

    Kumpulan ketiga, Masyarakat Bestari didahului oleh pasukan orang kelainan upaya, pasukan warga emas, pasukan tujuh puak jati Brunei dan pancaragam Jabatan Bomba dan Penyelamat.

    Perbarisan kumpulan keempat, Sektor Awam dan Swasta, didahului oleh pasukan sektor awam, pasukan pancaragam Kadet Polis Diraja Brunei dan pasukan sektor swasta.

    Majlis seterusnya menyaksikan persembahan seni silat bertajuk Gerak Silat, Gerak Beradat yang dipersembahkan oleh sembilan orang pesilat kebangsaan yang telah memenangi beberapa pingat di peringkat serantau dan antarabangsa.

    Persembahan itu juga diikuti persembahan Silat Tari oleh seramai 60 orang pelajar dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Sekolah Rendah Pusar Ulak.

    Perbarisan lalu diteruskan dengan kumpulan kelima, Sektor Pendidikan yang mengetengahkan gabungan pelajar daripada institusi-institusi pengajian tinggi kerajaan dan swasta iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Politeknik Brunei (PB), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Pusat Pembangunan Belia (PPB) dan kolej-kolej swasta.

    Kumpulan keenam, Pergerakan Awam didahului oleh pasukan komuniti, pasukan persatuan profesional dan umum, pasukan gabungan warganegara sahabat dan gabungan pasukan hadrah dengan kumpulan terakhir iaitu kumpulan ketujuh bagi perbarisan lalu ialah Pasukan Cemerlang.

    Ia terdiri daripada beliawanis dan ahli masyarakat yang telah meraih kejayaan, kecemerlangan serta pengiktirafan melalui penglibatan dalam bidang teknologi, fesyen, pertanian, kebudayaan, keagamaan, kesukanan, keusahawanan, kesukarelawanan, kepimpinan, industri kreatif, pengurusan, akademik dan pakar profesional di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

    Acara diteruskan dengan lafaz ikrar Hari Kebangsaan yang diketuai oleh Pegawai Kerja, Kementerian Pertahanan, Awangku Mohd Nazirul Mubin bin Pengiran Haji Abdul Rahman yang disusuli dengan laungan ‘Allahuakbar’ tiga kali oleh para peserta dan mereka yang hadir pada upacara itu.

    Baginda Sultan serta kerabat diraja kemudian berkenan menyaksikan persembahan tema sambutan bertajuk ‘Warisan Budaya: Jati Diri Bangsa’ yang mengetengahkan persembahan lagu-lagu tradisional dan patriotik dipersembahkan oleh seramai 2,839 orang peserta dan 120 orang pemuzik tradisional merangkumi pelbagai peringkat umur mewakili kementerian-kementerian, jabatan-jabatan kerajaan, sekolah-sekolah rendah, menengah, maktab, institusi pengajian tinggi, persatuan-persatuan, tujuh puak jati Brunei, para belia termasuk orang kelainan upaya.

    Persembahan itu meraikan kegemilangan pemerintahan negara Melayu Islam Beraja dengan persembahan diiringi oleh Orkestra Tradisional Senandung Darussalam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...