Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Sanggup ceroboh untuk raih perhatian kekasih

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Gara-gara ingin mendapatkan perhatian teman lelaki, seorang wanita tempatan dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret kelmarin setelah dia mengaku bersalah kerana menceroboh masuk ke kawasan milik kerajaan.

    Siti Nadiah binti Azmi, 31, mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh masuk ke dalam sebuah flat kediaman milik Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) yang terletak di Mumong, Kuala Belait, pukul 4 pagi, 30 Januari lalu.

    Lebih mengejutkan, defendan bertindak agresif semata-mata untuk mendapatkan perhatian teman lelakinya dengan menyalakan api di bangunan flat tersebut.

    Majistret Syaffina Shahif mendapati kes itu diburukkan lagi dengan fakta bahawa defendan telah berulang kali menceroboh sejak 2022 dan telah mencetuskan kebakaran di kawasan itu, yang boleh menjadi lebih teruk jika ia tidak dipadamkan oleh teman lelakinya.

    Pendakwa Ahmad Firdaus Mohammad mendedahkan di mahkamah bahawa defendan menyalakan sekeping polistirena semasa dia menceroboh bangunan itu dan menghantar pesanan teks kepada teman lelakinya yang tinggal di tingkat bawah.

    Apabila menerima pesanan teks daripada teman wanitanya yang memaklumkan mengenai kebakaran yang dicetuskan itu, dia lantas bergegas menuju ke rumah flat di bahagian atas kediamannya lalu bertindak pantas memadamkan api menggunakan baldi air yang diambilnya dari bilik air.

    Hal itu menyebabkan tercetusnya pergaduhan antara pasangan berkenaan yang akhirnya menyebabkan wanita itu meninggalkan tempat kejadian.

    Teman lelaki defendan kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut yang akhirnya membawa kepada penahanan defendan.

    Hasil daripada penyiasatan lanjut telah mendapati defendan berjaya berulang kali menceroboh kediaman itu kerana ia telah ditinggalkan kosong tanpa penghuni.

    Defendan berkata bahawa tindakannya yang berbahaya dilakukannya itu adalah semata-mata untuk menarik perhatian teman lelakinya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...