Sunday, October 20, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sambutan Jubli Perak tingkatkan ukhuwah

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Untuk memperingati sejarah penubuhan Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh dan mengeratkan ukhuwah sesama penduduk Kampung Bebuloh, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) telah mengadakan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun di Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh, Jalan Wasan Limau Manis kelmarin.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan diikuti Surah Yasin dan Doa Kesyukuran. Majlis kemudiannya diteruskan dengan penanaman pokok-pokok kurma yang disempurnakan oleh tetamu kehormat, Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    Haji Abdul Rajid menghadiri majlis berkenaan.

    Tujuh pohon pokok kurma telah disumbangkan oleh Leftenan Kolonel (B) Kamaluddin bin Gafar untuk ditanam sempena memperingati Jubli Perak Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh.

    Haji Abdul Rajid menyempurnakan penanaman pokok kurma.

    Majlis berkenaaan diadakan bertujuan untuk menyemarakkan kerjasama dengan nilai-nilai murni melalui aktiviti yang dijalankan di samping memupuk rasa cinta kepada Rumah Kegiatan Ugama dan sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah SWT.

    Dengan Rumah Kegiatan Ugama tersebut, penduduk kampung dapat beramal ibadat dan membuat aktiviti kemasyarakatan yang bermanfaat sekali gus memupuk semangat hidup bersama dalam satu komuniti.

    Di samping itu, semangat cintakan alam sekitar dapat dipupuk dengan adanya aktiviti penanaman pokok-pokok hijau.

    Turut hadir di majlis tersebut, Penghulu Mukim Pengkalan Batu, Haji Ar’fan bin Haji Yusof dan Pemangku Ketua Kampung Bebuloh, Awang Mohd Firdaus bin Haji Mohd Said @ Samrey.

    Gambar ramai Haji Abdul Rajid bersama antara yang hadir di majlis berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda