Monday, May 6, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Trend pergerakan penumpang di LTAB meningkat

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Trend pergerakan penumpang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) yang merangkumi keluar, masuk dan persinggahan, sejak pembukaan sempadan sehingga 31 Disember 2022 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 55 peratus.

    Jika dibandingkan lima tahun sebelum pandemik COVID, pergerakan penumpang meningkat setiap tahun dan tahun 2019 mencatatkan yang tertinggi dengan 2,186,825 orang.

    Secara purata, kadar pertumbuhan tahunan pergerakan penumpang di negara ini dari tahun 2015 hingga 2019 adalah sebanyak 5.5 peratus.

    Jika berdasarkan kadar berganda sebanyak 5.5 peratus setiap tahun, jumlah pergerakan penumpang dijangka akan kembali ke tahap 2019 pada tahun 2026.

    Statistik tersebut dikongsikan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui siaran akhbarnya yang meninjau impak daripada pembukaan semula pintu sempadan Negara Brunei Darussalam bagi perjalanan bukan mustahak khususnya melalui pos kawalan udara dan laut.

    Sementara itu, mengenai pergerakan penumpang keluar dan masuk melalui Feri Terminal Serasa, perangkaan menunjukkan peningkatan sejak pembukaan sempadan dengan seramai 1,146 orang penumpang keluar dan 950 orang penumpang masuk.

    Bagi bulan berikutnya, jumlah pergerakan penumpang keluar dan masuk melalui terminal tersebut terus meningkat sebanyak 56 peratus dengan mencatatkan sejumlah 3,263 orang penumpang. Manakala pada Disember 2022, ia telah mencatatkan jumlah yang tertinggi bertepatan dengan musim cuti persekolahan dengan seramai 6,903 orang penumpang keluar dan masuk negara ini.

    Sebelum tercetusnya pandemik COVID, kementerian tersebut mengongsikan bahawa tahun 2016 mencatatkan pergerakan penumpang yang tertinggi dengan jumlah 182,753 orang penumpang.

    Pihak kementerian turut mengongsikan mengenai pembaharuan lesen memandu bagi warga emas berumur 70 ke atas, di mana mereka diberikan pilihan untuk memperbaharui lesen memandu mereka bagi tempoh satu, tiga atau lima tahun dengan melengkapkan Borang Pengakuan Kesihatan Diri yang disediakan oleh Jabatan Pengangkutan Darat.

    Manakala, pemohon yang berumur 86 tahun dan ke atas hendaklah menyertakan sijil kesihatan yang disahkan oleh pengamal perubatan berdaftar dan diiktiraf dan hanya boleh memperbaharui Lesen Memandu Kelas 3 bagi tempoh setahun sahaja.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pemantau sekatan akan gagal – Duta PBB Korea Utara

    PYONGYANG, 5 MEI - Duta Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata usaha untuk menubuhkan panel baharu bagi memantau sekatan terhadap negaranya akan...