Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Santuni golongan orang kelainan upaya

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Sudah menjadi lumrah dunia, tidak semua manusia dilahirkan sempurna, ada juga yang dilahirkan dengan kelainan upaya.

    “Begitu juga manusia yang sempurna, mereka juga tiada jaminan kekal sempurna hingga ke hujung usia, mereka yang kelainan upaya ini tetap merupakan sebahagian daripada masyarakat dan mendapat perhatian selayaknya dalam ajaran Islam.”

    Semasa menyampaikan Khutbah Jumaat bertajuk Semua Manusia Sama di Sisi Allah SWT, hari ini, khatib menambah, Islam mengajar untuk menyantuni orang kelainan upaya (OKU) dalam semua hal, sama ada dalam urusan duniawi dan ukhrawi lebih-lebih lagi dalam perihal ibadat.

    Katanya lagi, “beribadat kepada Allah merupakan perkara utama dalam ajaran Islam dan tidak ada pengecualian bagi setiap individu yang mukalaf, sama ada mereka insan sempurna atau kelainan upaya.”

    Kita juga hendaklah membantu dan mendahulukan urusan golongan OKU, kerana kehadiran mereka satu rahmat daripada Allah.

    Gambar Freepik

    Khatib dalam khutbahnya menekankan, dengan adanya orang buta, kita menghargai nikmat melihat, manakala dengan adanya orang pekak, kita mensyukuri nikmat mendengar dan dengan adanya orang bisu, kita mengerti nilai nikmat berbicara.

    “Segala yang ada pada diri kita adalah anugerah daripada Allah dan kehadiran OKU bukanlah untuk dihina atau dipersendakan, namun untuk difahami dan dibantu.

    “Walaupun terdapat kekurangan tertentu pada mereka, tapi pada sudut lain, mereka dikurniakan dengan bakat dan kebolehan yang luar biasa, malah mengatasi insan lain yang sempurna, maka hargai dan iktiraf serta berikan peluang kepada mereka dalam masyarakat,” ujarnya.

    Secara zahirnya, tegas khatib, golongan OKU ini mempunyai keupayaan yang tidak sama dengan individu normal dan sebagai masyarakat yang penting adalah menjadi tanggungjawab untuk sedar dan ingat, kehadiran golongan OKU di dunia bukan untuk dihina dan dicerca.

    Setiap orang mempunyai peranan penting dalam memastikan golongan OKU berada dalam keadaan yang aman dan sejahtera serta sebagai masyarakat prihatin perlu mempunyai sikap empati terhadap mereka dan mendalami cabaran yang mereka hadapi.

    Sama-sama beringat dan sedar, golongan OKU ini memerlukan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak bagi membolehkan mereka untuk berdikari, bukan sahaja dari segi pembelajaran, malah dalam bidang pekerjaan.

    Di Negara Brunei Darussalam sebahagian golongan OKU turut diberikan peluang untuk menjawat sebarang pekerjaan.

    Khatib seterusnya menyeru untuk mencuba dengan sedaya upaya untuk memahami, menolong dan membimbing golongan OKU agar mereka tidak rasa disisihkan oleh masyarakat supaya mereka dapat menjalani dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan sejahtera.

    “Marilah kita sentiasa memupuk rasa syukur dalam jiwa dan sanubari atas segala nikmat yang Allah telah kurniakan kepada semua,” nasihatnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...