Tuesday, October 22, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sapporo, JOC tarik diri

    TOKYO, 11 OKT — Pegawai dari Sapporo dan Jawatankuasa Olimpik Jepun (JOC) hari ini mengumumkan keputusan untuk menarik balik bandar utara Jepun itu sebagai calon untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2030, dengan usaha itu dicemari oleh rasuah besar-besaran dan penipuan bidaan yang berkaitan dengan Sukan Tokyo yang tertangguh selama setahun.

    Datuk Bandar Sapporo, Katsuhiro Akimoto dan Presiden JOC, Yasuhiro Yamashita, dalam sidang akhbar bersama di Tokyo, berkata mereka menarik diri kerana kekurangan sokongan daripada rakyat yang sebahagian besarnya hilang kepercayaan disebabkan oleh kes rasuah Olimpik Tokyo 2020 yang timbul tahun lepas.

    “Kami tidak dapat kepercayaan daripada rakyat,” kata Akimoto kepada wartawan.

    “Terdapat perasaan tidak senang yang meluas dalam kalangan rakyat mengenai kes jenayah yang berkaitan dengan Sukan Tokyo 2020 dan mereka juga bimbang tentang beban kewangan mereka untuk menganjurkan temasya itu.”

    Yamashita, pemenang pingat emas judo dan ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), berkata beliau mencadangkan perubahan rancangan kerana bimbang ‘usaha kami terhadap proses bidaan mungkin merosakkan nilai Sukan Olimpik, Sukan Paralimpik dan aktiviti sukan secara keseluruhannya’.

    Sebelum pengumuman itu, kedua-dua pegawai tersebut bertemu di Tokyo untuk mengesahkan keputusan mereka. Ia berlaku ketika Stockholm, Sweden, kini dilihat sebagai calon utama untuk edisi 2030 dan Salt Lake City hampir pasti akan dipilih untuk edisi 2034 oleh IOC.

    Kedua-dua pegawai itu berkata mereka akan terus mencari kemungkinan pencalonan Sapporo untuk 2034 atau kemudian, tetapi peluang dianggap tipis dan perbincangan mereka untuk 2034 dilihat sebagai percubaan untuk menyelamatkan maruah.

    Akimoto berkata pembidaan untuk 2034 juga akan menjadi ‘agak sukar’ dan bandar itu perlu mengkaji dengan teliti prospek, termasuk kehendak penduduk, sebelum memutuskan bagaimana untuk meneruskan bidaan masa depan.

    Skandal yang meluas itu telah mencemarkan imej Olimpik di Jepun dan menjejaskan bidaan Sapporo. – AP

    Seorang pejalan kaki berjalan melintasi poster bidaan Sapporo untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk 2030 di Sapporo, utara Jepun pada 6 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda