Pelakon Sara Ali, 34, mengaku memerlukan kelas lakonan bagi memantapkan tahap penghayatan dan mengatasi masalah kurang keyakinan.
Sara atau nama sebenar, Siti Sarah Hairi Ali mendakwa berhadapan dengan serangan panik dan kebimbangan keterlaluan selepas melakonkan watak Sarimah dalam filem seram, Bisikan Dosa.
Justeru itu, Sara memutuskan untuk mengendalikan masalah emosi dengan menghadiri kelas lakonan bersama Farah Ahmad.
“Seminggu sebelum penggambaran filem Bisikan Dosa bermula, saya ambil kelas lakonan bersama Farah selama tiga hari. Saya mahu buat persediaan sebelum masuk set penggambaran.
“Buat kali pertama, saya kembali masuk kelas lakonan selepas 12 tahun tak berbuat demikian. Dahulu, saya pergi kelas, tapi sekarang saya enggan berada di zon selesa.
“Saya sudah pakai banyak method dan saya tak tahu kaedah apa lagi hendak digunakan dalam lakonan.
“Sebab itulah saya perlu masuk kelas lakonan dan gunakan ilmu ini. Dalam lakonan, ada orang boleh guna memori, tapi saya sudah tidak boleh guna memori selalu.
“Jadi, saya kena cari kaedah lain dan filem ini mengajar saya daripada segi teknikal,” katanya kepada BH Online di lokasi penggambaran filem Bisikan Dosa di Kuang, Selangor, baru-baru ini.
Sara mengakui, watak Sarimah dalam filem Bisikan Dosa agak berat.
“Ada penyampaian emosi. Misalnya, kalau adegan menangis bukan sekadar kena menitiskan air mata.
“Jadi, saya kena dalami watak Sarimah. Disebabkan itu, saya dapat panic attack sekejap.
“Sebelum ini, saya ada rasa bimbang sebelum jayakan watak. Tetapi perasaan gugup lebih tinggi daripada tahap keyakinan dalam filem Bisikan Dosa yang diarah Faizul A Rashid ini,” katanya. – Agensi